Kota Kinabalu : Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) bertekad untuk mewujudkan satu landskap baharu dalam bidang pendidikan pada tahun ini yang merangkumi sembilan fokus strategik.
Pengarah JPNS Datuk Raisin Saidin berkata, tahun ini akan membawa cabaran yang lebih besar kepada jabatan itu bagi memenuhi hala tuju Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) selain hasrat Kerajaan negeri di bawah hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Justeru itu katanya, sebanyak sembilan fokus strategik telah dikenal pasti untuk dilaksanakan pada tahun ini.
“Antaranya ialah ‘Quality Academic Delivery’ yang memastikan perkhidmatan penyampaian kurikulum kebangsaan dari pra sekolah sehingga tingkatan enam dilaksanakan secara berkesan dan berkualiti .
“Selain itu, JPNS juga akan memberi fokus kepada akses pendidikan berkualiti yang akan meningkatan akses pendidikan kepada semua murid bermula dari prasekolah hingga menengah atas meliputi institusi pendidikan kerajaan dan swasta serta meningkatkan kualiti pendidikan murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK).
“Pihak jabatan juga akan memberi fokus kepada aspek murid cintakan ilmu dimana pemupukan dan pemantapan budaya illmu bagi melahirkan murid sentiasa cintakan ilmu dan menjadikan amalan dalam kehidupan,”katanya menerusi kenyataan di muat naik di Facebook rasmi Pejabat Pengarah Pendidikan Negeri Sabah di sini semalam.
Raisin berkata, JPNS juga akan memberi fokus kepafa generasi fasih digital iaitu membangun generasi fasih digital dengan mengupayakan pendidik mampu mengintegrasikan teknologi digital dalam PDP.
Katanya, penyediaan peralatan ICT dan infrastruktur rangkaian bagi meningkatkan penguasaan digital dalam kalangan warga sekolah juga akan diberi tumpuan.
“Pihak jabatan juga akan memberi fokus kepada sifar ketidakakuran dalam pentaksiran dan peperiksaan khususnya isu yang boleh menjejaskan keputusan calon khususnya di peringkat peperiksaan awam SPM dan STPM.
“Pengurusan sumber manusia berkualiti menghasilkan budaya berkualiti, Integriti, inovasi dan berdaya saing mampu merealisasikan matlamat pendidikan selain mengukuhkan integriti seluruh warga Jabatan Pendidikan Negeri,” katanya.
Dalam pada itu, Raisin berkata, JPNS juga akan memperkasakan kesejahteraan warga pendidikan melalui pelaksanaan iltizam 1 Warga 1 Kaunseling (1W1K) Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.
Katanya, pengurusan kewangan bagi memastikan peruntukan belanja mengurus jabatan mencukupi dan dibelanjakan secara optimum berdasarkan tatacara kewangan.
“Perancangan infrastruktur pembangunan dan perolehan khususnya mengangkat dalam RMK12 (RPS) iaitu Projek Sekolah Daif (Skala 7), Sekolah Baharu, Bangunan Tambahan, Asrama, Bangunan PPD & Perolehan Tapak).
“Selain itu, pihak jabatan juga akan melaksanakan penyelanggaran institusi pendidikan dan perolehan (tender/ sebutharga/perolehan terus),” katanya. – SABAH MEDIA