Tenom : Stesen Janakuasa Hidro Tenom Pangi di Sungai Padas di sini yang berkapasiti 66 Megawatt (Mw) dijangka akan beroperasi semula pada Mac depan.
Pengurus Besar Kanan Pengurusan Aset, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) Ir Idris Mohd Noor berkata, ketika ini kerja akhir pemulihan kerosakan sedang giat dilaksanakan membabitkan salah satu daripada tiga turbinnya.
“Kerja membaik pulih komponen turbin Unit 3 stesen janakuasa itu sudah selesai dan kini hanya tinggal kerja pemasangan semula, selain pembersihan terowong air oleh anggota SESB dan kontraktor yang dilantik.
“Apabila siap nanti, air dari Sungai Padas akan dapat disalur masuk melalui terowong untuk memutar turbin Unit 3 yang berkapasiti 22 MW,” katanya menerusi satu kenyataan media, di sini, hari ini.
Stesen janakuasa hidro elektrik milik SESB yang terletak di Kampung Pangi, Tenom itu sebelum ini dihenti operasi selepas mengalami kerosakan teruk akibat bencana alam pada November 2022.
Idris berkata,selain tambahan tenaga daripada janakuasa hidro elektrik itu, SESB juga mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Tenaga untuk menyewa beberapa unit janakuasa bagi meningkatkan margin simpanan tenaga dalam Grid Sabah pada tahun ini.
“Antaranya ialah satu unit janakuasa berkapasiti 10 MW yang akan dipasang di Stesen Tawau dan pelbagai unit janakuasa berkapasiti sehingga 30 MW yang akan dipasang di Stesen Labuk, Sandakan,” katanya.
Stesen Janakuasa Hidro Tenom Pangi yang mula beroperasi pada 1984 itu dilengkapi tiga turbin janakuasa yang setiap satu berkapasiti 22 MW, menjadikan jumlah kapasiti yang mampu disalur ke Grid Sabah sebanyak 66 MW. – SABAH MEDIA/FOTO SESB