HomeIsu tempatanCeramah IBS persiap pelajar kejuruteraan awam masuki dunia perindustrian

Ceramah IBS persiap pelajar kejuruteraan awam masuki dunia perindustrian

Read Time:1 Minute, 18 Second

Kota Kinabalu: Program Ceramah Industrialised Building System (IBS) berfokuskan ‘Light Steel Frame’ anjuran Kelab Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaysia Sabah (UMS) baru-baru ini mampu membantu pelajar program kejuruteraan UMS untuk memasuki dunia perindustrian selepas menamatkan pengajian. 

Pengarah program ceramah tersebut, Natasha Oswen Bernard Lojikim berkata, program yang diadakan di Perpustakaan UMS itu antara lain bertujuan untuk menambahkan ilmu pengetahuan berkaitan dengan konsep IBS yang kini semakin terkenal di dunia perindustrian.

“Program dengan kerjasama Beau Villas IBS Sdn Bhd ini juga bertujuan memperkenalkan dan sebagai satu platform untuk mempelajari salah satu elemen penting dalam aspek pembangunan dan pembinaan yang mampan kepada para pelajar kejuruteraan awam.

“Ini sekali gus mampu meningkatkan peluang pekerjaan kepada pelajar Kejuruteraan Awam khususnya kerana pelajar telah didedahkan dengan pengetahuan berkenaan industri,” katanya.

Natasha turut memaklumkan, tiga wakil dari daripada Beau Villas IBS Sdn Bhd., iaitu Pemilik dan Ketua Pegawai Eksekutif, Michael He Long; Pengurus Projek, Clifford Darwin; dan Pentadbir Pemasaran, Bexter Jimmy telah hadir untuk memberikan ceramah IBS dan penggunaan ‘Light Steel Frame’.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Kejuruteraan Awam, Sr Ts. Dr. Asmawan Mohd Sarman ketika merasmikan program tersebut mengalu-alukan kerjasama bersama industri tersebut dan mengharapkan agar semua pelajar mendapat ilmu pengetahuan yang baharu dan berguna untuk masa hadapan yang cemerlang.

Beliau turut mengambil peluang untuk berkongsi beberapa kemajuan masa kini dalam penggunaan IBS dan memberikan beberapa contoh projek-projek yang menggunakan sistem IBS.

Lebih 100 pelajar  yang terdiri daripada pelajar Ijazah Doktor Falsafah dan pelajar tahun 2 dan tahun 4 Program Kejuruteraan Awam terlibat dalam menjayakan program ceramah tersebut.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Petugas Tabung Darah digesa tingkat kemahiran, pengetahuan demi keselamatan pesakit

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular