HomeUtamaPM Anwar Mahu Laporan Teliti Berhubung Masalah Bekalan Air Berlarutan Di UMS

PM Anwar Mahu Laporan Teliti Berhubung Masalah Bekalan Air Berlarutan Di UMS

Read Time:1 Minute, 57 Second

BERNAMA

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pihak berkaitan mengemukakan laporan teliti berhubung masalah bekalan air yang masih berlarutan di Universiti Malaysia Sabah (UMS), sedangkan kerajaan telah meluluskan peruntukan RM3 juta tahun lepas bagi mengatasi masalah itu.

Berucap pada majlis perhimpunan bersama warga Kementerian Kewangan di sini hari ini, Anwar berkata beliau mendapat tahu dari media sosial mengenai mahasiswa UMS berdepan dengan masalah air, dan perkara itu dirujuk kepada Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir semalam.

“Saya tidak mengerti sama ada mungkin projek itu ambil masa, saya tidak mahu menghukum. Saya minta laporan teliti apa jadi sejak Menteri Kewangan luluskan peruntukan segera untuk selesaikan masalah air di universiti itu,” kata beliau yang juga Menteri Kewangan.

“Saya nak dapat laporan, mungkin KSP (Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican) boleh tanya ketua setiausaha kementerian berkenaan. Apa berlaku sejak kelulusan saya dan tindakan yang diambil oleh kementerian dan universiti,” katanya.

Kerajaan Persekutuan pada 31 Mei tahun lepas meluluskan peruntukan RM3 juta kepada UMS bagi membantu menyelesaikan masalah bekalan air yang menurut Anwar, beliau tidak mahu mahasiswa UMS menghadapi kesukaran menjalani kehidupan ketika menimba ilmu.

Semalam, Zambry turut mengumumkan peruntukan tambahan RM2 juta kepada UMS bagi tujuan sama sebagai penyelesaian jangka pendek dan panjang agar masalah bekalan boleh diatasi segera.

Sementara itu, Anwar berkata setiap jentera kerajaan tidak kira di peringkat Persekutuan atau negeri perlu ada keseragaman dan pemahaman yang lebih baik mengenai keupayaan kerajaan dan kekuatan kewangan negara.

Menurutnya dalam pertemuan beliau dengan pimpinan kerajaan negeri Pahang dan Jabatan Kerja Raya Pahang semalam, beliau dimaklumkan bahawa terdapat tuntutan antara RM7 dan RM8 bilion bagi tujuan projek berkaitan infrastruktur di negeri itu, namun beliau mengambil peluang itu untuk menjelaskan mengenai kedudukan kewangan negara.

“Saya lihat kadang-kadang ada negeri ‘disconnected’, sebab itu saya manfaatkan masa itu untuk jelaskan hutang kita, mengenai defisit, tapi (jika) ada keperluan mendesak, kita luluskan peruntukan contohnya bagi soal pengurusan dan ‘penyenggaraan’.

“Maknanya dalam jentera kerajaan ini harus dipastikan bukan sahaja keseragaman, tetapi kefahaman juga, umpamanya kita mahu setiap pegawai, bukan hanya di Kementerian Kewangan, tetapi di setiap kementerian, di negeri dan daerah faham sekurang-kurangnya apa keupayaan kerajaaan, apa kekangannya,” katanya.

Majlis perjumpaan itu turut dihadiri oleh Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying dan Johan.

RELATED ARTICLES
Mahkamah Kota Kinabalu
Utama

Keputusan Mahkamah Rayuan, Artikel 112C & 112D Perlembagaan Persekutuan, berkepentingan perlembagaan...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular