HomeUtama1kg syabu anggaran nilai RM1 juta dirampas, tiga suspek ditahan

1kg syabu anggaran nilai RM1 juta dirampas, tiga suspek ditahan

Read Time:2 Minute, 17 Second

SEMPORNA: Polis berjaya memberkas tiga suspek bersama 20 bungkusan plastik hitam disyaki dadah jenis Syabu seberat 1kilogram dengan anggaran nilai RM1 juta dalam satu serbuan di Jeti Umum Semporna pada 3 Januari lalu.

Ketiga-tiga suspek ditahan oleh sepasukan polis daripada Balai Polis Pulau Bum Bum dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Semporna (BSJND) pada jam 6.30 pagi ketika pasukan itu sedang menjalankan pemerhatian di Sekitar Jeti Umum pada hari tersebut.

Ketua Polis Daerah Semporna Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, semasa pemerhatian tersebut telah kelihatan tiga lelaki dalam bot kayu datang dari arah laut dan merapat ke tebing bebatuan bersebelahan dengan Jeti Umum, Semporna.

“Seorang daripada lelaki berkenaan telah turun dari bot dan naik ke darat. Dalam beberapa minit kemudian lelaki tersebut kembali semula menuju ke arah bot dengan membawa dua beg bagasi dalam keadaan mencurigakan dan disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah berbahaya.

“Pasukan serbuan telah bertindak pantas menyerbu dan menahan dengan menjalankan tangkapan serentak ketiga-tiga suspek lelaki iaitu dua suspek warganegara tempatan dan seorang suspek warganegara asing berumur lingkungan 36 hingga 38 tahun.

“Menyedari kehadiran polis kesemua suspek cuba melarikan diri namun berjaya di tahan oleh pasukan serbuan. Ketiga-tiga suspek berserta dua beg bagasi dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Semporna untuk pemeriksaan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Farhan, hasil pemeriksaan terhadap dua beg bagasi berkenaan telah menjumpai 20 bungkusan plastik hitam ketulan mampat bahan hablur jernih disyaki dadah jenis Syabu.

“Setiap beg berkenaan mengandungi 10 bungkusan hitam yang mana anggaran berat kasar untuk setiap satu bungkusan hitam berkenaan adalah 1000 gram.

“Anggaran berat kasar dadah disyaki Syabu yang di rampas adalah lebih kurang 20,227.42 gram yang di anggarkan bernilai RM1 juta,” katanya.

Beliau berkata, dadah yang dirampas disyaki untuk diedarkan ke negara jiran yang mana dianggarkan jumlah dadah 1 kilogram dadah boleh digunakan seramai 5,000 orang penagih dadah.

“Turut di rampas adalah sebuah bot kayu dan satu unit enjin sangkut jenama Yamaha 15hp.

“Ketiga-tiga suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula 4 Januari hingga 11 Januari 2024.

“Kes di siasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup,” tegasnya.

Mohd Farhan turut memaklumkan ujian saringan awal keatas ketiga-tiga suspek juga positif dadah jenis Meth, bagi kesalahan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua OKT telah dituduh di Mahkamah Semporna pada 10 Januari 2024 serta tiada ikat jamin ditawarkan.

“Pihak IPD Semporna mengucapkan terima kasih kepada orang awam yang menyalurkan maklumat berkenaan pengedaran dadah di Daerah Semporna.

“Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes diminta untuk menyalurkan maklumat di talian 089-782020 atau kepada pegawai penyiasat kes Inspektor Adzilee Suili,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

QSB kukuh kolaborasi dalam pengurusan kesihatan pekerja asing

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya