HomeIsu tempatanIPMB UMS diiktiraf Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HiCoE)

IPMB UMS diiktiraf Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HiCoE)

Read Time:1 Minute, 57 Second

Kota Kinabalu : Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) Universiti Malaysia Sabah (UMS) diiktiraf sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HiCoE) bagi penghasilan benih ikan marin yang bernilai tinggi.

Pengarah IPMB, Prof. Madya Dr. Ching Fui Fui berkata, IPMB menerima pengiktirafan tersebut daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dengan skim geran dana HiCoE sebanyak RM6.75 juta.

Katanya, IPMB merupakan HiCoE pertama di Borneo dengan bidang penyelidikan berfokus kepada Sekuriti Makanan Laut yang menjurus kepada penghasilan benih ikan bernilai tinggi seperti ikan kerapu dan ikan maming.

“IPMB telah melakar sejarah dalam industri akuakultur kerapu dengan kejayaan menghasilkan ikan kerapu hibrid sebelum ini, yang mempunyai kadar pertumbuhan pantas dalam tempoh tujuh bulan berbanding tiga tahun bagi ikan kerapu biasa.

“Pertumbuhan pantas ikan kerapu ini penting untuk memenuhi permintaan pasaran makanan laut bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di rantau Asia.

“Selain ikan kerapu, IPMB juga sedang giat menjalankan penyelidikan ikan maming dalam pelbagai aspek termasuklah genetik dan pembiakan, pemakanan dan kesihatan serta pengurusan sistem ternakan. Setakat ini, IPMB telah berjaya mengenal pasti jantina dan tahap kematangan induk ikan maming dan berupaya memperolehi telur ikan maming yang berkualiti dan sedia disenyawakan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd. Kadir ke Hatceri Ikan IPMB sempena lawatan kerja sulungnya ke UMS, baru-baru ini.

Turut mengiringi lawatan Zambry ialah Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman dan Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor.

Menurut Kasim, impak penyelidikan ikan kerapu hibrid UMS telah menghasilkan nilai ekonomi sebanyak USD630 juta seperti yang didokumentasikan oleh Food and Agriculture (FAO) pada tahun 2015 dan nilai ekonominya terus meningkat sehingga kini.

“Saya yakin kejayaan yang sama boleh dilakukan terhadap ikan-ikan bernilai tinggi lain khususnya ikan maming bagi memastikan keterjaminan makanan laut menerusi penghasilan benih ikan berkualiti tinggi.

“Usaha ini dijangka mampu mengurangkan isu kepupusan ikan bernilai tinggi yang akan menjamin kelestarian sumber perikanan selain dapat memacu sumber ekonomi menerusi kerjasama dengan rakan akuakultur dan industri,” katanya.

Pada lawatan tersebut, Kasim turut menzahirkan penghargaan kepada KPT atas penyaluran dana sebanyak RM3 juta untuk tahun pertama pelaksaaan program HiCoE IPMB.

HiCoE IPMB juga akan bekerjasama dengan Kindai Universiti dan beberapa universiti di dalam dan luar negara serta Kerajaan Negeri Sabah dalam memacu ekonomi biru yang menjadi agenda pembangunan negeri Sabah sebagai hab ekonomi negara.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

PPIB UMS bantu penghuni penjara siapkan diri kembali hadapi dunia luar

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular