HomeIsu tempatanBanjir Beluran: Sembilan sekeluarga dipindahkan ke PPS

Banjir Beluran: Sembilan sekeluarga dipindahkan ke PPS

Read Time:1 Minute, 41 Second

BELURAN: Seramai sembilan sekeluarga mangsa banjir terpaksa dipindahkan ke Pusat Penempatan Sementara (PPS) Cocos berikutan banjir yang melanda di Kampung Rancangan Cocos Pamol, dekat sini tengahari tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran, Edoen Macheal berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.02 tengahari tadi (14 Jan) mengenai kejadian banjir di Kg Rancangan Cocos Pamol menyebabkan sembilan mangsa terperangkap di sebuah rumah yang telah dinaiki air.

Pasukan bomba Beluran memindahkan sembilan mangsa banjir yang terperangkap di rumah ke PPS Cocos tengahari tadi. – Foto ihsan JBPM Beluran.

“Sepasukan Bomba Beluran bertindak memindahkan sembilan mangsa terlibat ke PPS Cocos dengan menggunakan bot penyelamat.

“Kesemua mangsa adalah ahli keluarga terdiri daripada tiga lelaki warga emas, seorang perempuan warga emas, tiga lelaki dewasa, seorang perempuan dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan,” katanya ketika dihubungi Sabah Media hari ini.

Menurut Edoen, hujan lebat berterusan sejak semalam mengakibatkan banjir di kawasan Kg Rancangan Cocos Pamol dengan kedalaman air 1.5 meter pada paras bahaya.

“Pihak Bomba bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menjalankan pemantauan banjir secara berterusan di kawasan-kawasan yang berisiko dinaiki air kerana hujan tidak berhenti dan paras air semakin meningkat,” katanya.

Beliau turut menasihatkan kepada penduduk yang terjejas dengan banjir agar lebih berwaspada dengan paras air atau hujan di kawasan kediaman atau tempat kerja.

“Berpindah lebih awal ke kawasan selamat dan tidak terjejas banjir dan hubungi pihak bomba atau talian kecemasan (999) sekiranya memerlukan bantuan atau apabila kawasan dinaiki air, kawasan ditengelami air atau jalan terputus,” katanya.

Sementara itu, berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, Pengerusi JPBD Kecil Paitan mengisytiharkan bencana banjir pada jam 8 pagi tadi dan pembukaan dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pamol dan Rumah Pengerusi JPKK Kampung Cocos.

Menurut kenyataan sekretariat berkenaan, laporan yang dikeluarkan setakat jam 4 petang tadi (14 Jan), seramai 42 mangsa banjir melibatkan 20 keluarga dari kawasan daerah Paitan masing-masing menempatkan seorang mangsa di PPS SMK Pamol dan 19 mangsa di Rumah Pengerusi JPKK Kampung Cocos.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Hannah, Mia galas cabaran Sabah cipta hatrik Bintang Kecil Kebangsaan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular