HomeUtamaKontraktor digesa siapkan Projek Naik Taraf LRA Kogopon 2 ikut jadual ditetapkan...

Kontraktor digesa siapkan Projek Naik Taraf LRA Kogopon 2 ikut jadual ditetapkan – Armizan

Read Time:3 Minute, 37 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

PAPAR: Perkembangan Projek Naik Taraf Loji Rawatan Air (LRA) Kogopon Fasa 2 setakat Jan 2024 telah mencapai status kemajuan 4.84 peratus berbanding 2.55 peratus yang dijangka sejak ia dilancarkan pada Ogos 2023, kata Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali.

Beliau berkata, ia adalah satu perkembangan yang baik, tarikh siap projek ini dijadualkan adalah pada Ogos 2026, iaitu dalam tempoh tiga tahun, justeru itu ia perlu dipastikan siap segera mengikut jadual.

“Sejak diamanahkan menjadi Ahli Parlimen Papar, saya telah empat kali turun ke LRA Kogopon iaitu bulan Februari, Jun dan Ogos tahun 2023, selain hari ini.

“Saya datang hari ini, plannya mahu marah tapi syukur alhamdulillah, bila laporan dibuat berserta dengan gambar-gambar kemajuan projek ini adalah lebih awal daripada yang dijadualkan, maksudnya pada Januari ini sasaran kemajuan projek mencapai 2.55 peratus tetapi kontraktor telahpun mencapai status kemajuan 4.84 peratus.

“Namun momentum ini kita akan teruskan dan saya sendiri bersama ADUN Kawang dan ADUN Limbahau akan memantau status kemajuan projek ini lebih dekat dan setiap tiga bulan kami akan turun ke kawasan ini untuk melihat kemajuan dan pastikan projek ini siap mengikut jadual.

“Sejak Ogos 2023, kontraktor telah dilantik. Maka saya menyeru kepada kontraktor berkenaan agar kerja-kerja perlu dilaksanakan segera mengikut jadual. Jangan ada kelewatan,” tegasnya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan tinjauan perkembangan Projek Naik Taraf LRA Kogopon Fasa 2 itu di sini, hari ini.

Bagaimanapun, semasa mengadakan perbincangan dengan kontraktor projek berkenaan hari ini, beliau mencadangkan apa yang penting supaya menyiapkan loji rawatan air Kogopon Fasa 2 itu terlebih dahulu selain kerja-kerja sistem perpaipan.

“Tadi dalam taklimat projek ini akan siap selama tiga tahun, maknanya tiga tahun lagi isu ini akan berlarutan, tapi tadi kita bincangkan bagaimana kalau projek ini boleh difokuskan siapkan dahulu Loji Rawatan Air Kogopon Fasa 2, sementara yang lain-lain seperti kerja-kerja sistem perpaipan dan sebagainya boleh dibuat kemudian.

“Ini adalah kerana apabila telah siap loji ini, kapasiti loji rawatan air itu daripada 40 juta liter air sehari kepada 80 juta liter sehari boleh sudah disalurkan kepada sistem perpaipan sedia ada dan sekali gus boleh menyelesaikan masalah bekalan air yang dihadapi di kawasan-kawasan tertentu.

“Jadi kita usahakan kontraktor bagi komitmen dua tahun loji tersebut boleh disiapkan tetapi kalau boleh saya minta satu tahun lima bulan siapkan dahulu fasa pertama itu, jadi air boleh disalurkan dengan segera,” katanya.

Menurut Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, LRA Kogopon sedia ada mempunyai kapasiti merawat 40 juta liter air sehari. Unjuran keperluan air di Papar dan kawasan sekitar oleh Jabatan Air Sabah mendapati bahawa wujud keperluan LRA ini dinaik taraf. Reka bentuk naik taraf LRA ini telah siap sejak tahun 2011.

“Projek Naik Taraf LRA Kogopon Fasa 2 telah dimasukkan dalam perancangan projek kerajaan dengan meningkatkan kapasiti rawatan sekali ganda daripada 40 juta liter air sehari kepada 80 juta liter air sehari.

“Projek telah dijadualkan bermula pada tahun 2019, melalui Rolling Plan 4 (RP4), Rancangan Malaysia Ke -11 (RMKe-11). Malangnya, apabila berlaku perubahan kerajaan negeri dan persekutuan, projek ini tidak berjalan.

“Alhamdulillah, setelah beberapa siri libat urus dan atas komitmen Kerajaan Negeri dan Persekutuan, kontraktor telah dilantik pada 14 Ogos 2023, dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor sendiri telah turun menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek Naik Taraf LRA Kogopon Fasa 2 pada 25 Ogos 2023,” katanya.

Armizan turut menekankan bahawa projek ini amat penting untuk menyelesaikan isu gangguan bekalan air di sebahagian kawasan dalam Parlimen Papar, Selatan Putatan dan Ulu Kimanis sejak sekian lama.

“Justeru, pihak kontraktor yang terpilih perlu memahami bahawa projek ini bukan projek biasa-biasa. Bukan projek naik taraf jalan raya, yang masyarakat masih punyai alternatif jalan lain untuk sampai ke sesuatu destinasi. Bukan juga projek bina sekolah baharu, yang buat sementara para pelajar masih punyai sekolah alternatif untuk belajar.

“Oleh yabg demikian, LRA Kogopon ini boleh dianggap projek kecemasan, kerana rakyat terkesan sudah sekian lama berhadapan isu gangguan bekalan air, dan ada ketikanya di sesuatu kawasan bekalan air langsung tiada hingga seminggu, ada tempat yang sehingga kini rakyat sepanjang masa berhadapan dengan catuan air, malah ada yang tidak mempunyai bekalan air berminggu-minggu.

“Itu sebabnya di bawah pentadbiran Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), isu menyelesaikan gangguan bekalan air menjadi keutamaan. Itu sebabnya Ketua Menteri telah mengarahkan proses perolehan disegerakan tahun lalu supaya projek boleh mula dilaksanakan,” jelas beliau.

RELATED ARTICLES
Utama

Monsun Barat Daya dijangka bermula Jumaat, taburan hujan lebih rendah –...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular