HomeUtamaTLDM terima empat FIC G2000 Mk II

TLDM terima empat FIC G2000 Mk II

Read Time:1 Minute, 45 Second

Kota Kinabalu : Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menerima empat buah ‘Fast Interceptor Craft’ (FIC) G2000 Mk II daripada Gading Marine Industry Sdn Bhd (GMISB) dalam usaha membendung dan menyekat kegiatan jenayah rentas sempadan.

Majlis penyerahan aset-aset berkenaan telah disaksikan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu diantara Pengarah Urusan GMISB, Dato’ Ir Jamalolail Mohd Yatim kepada Panglima Tentera Laut, Laksmana Tan Sri Abdul Rahman Ayob.

Empat buah FIC G2000 Mk II Fasa Pertama itu telah dibina sepenuhnya di fasiliti limbungan GMISB bertempat di Lot A2 Lumut Port Industrial, Mukim Lumut, Jalan Kampung Acheh, Sitiawan, Perak dan ianya telah berjaya disempurnakan dalam tempoh 16 bulan.

Perolehan FIC G2000 Mk II ini melibatkan tiga fasa di mana TLDM akan menerima keseluruhan sebanyak 13 buah FIC secara berperingkat.

Terdahulu pada Februari 2021, TLDM telah pun menerima sejumlah enam buah FIC G2000 Mk I yang mana aset ini turut dibina oleh GMISB melalui Projek Perolehan Operasi Benteng (Op Benteng).

Berbanding FIC terdahulu, FIC G2000 Mk II ini adalah unik kerana ianya turut dilengkapi dengan ‘Remote Control Weapon Station’ (RCWS) Escribano yang membolehkan penembakan senjata jenis CANiK M2 Quick Change Barrel (QCB) 12.7mm Heavy Machine Gun (HMG) dilaksanakan secara automatik.

FIC G2000 Mk II dengan panjang 18 meter ini juga dilengkapi dengan enjin yang lebih berkuasa dan berkemampuan untuk mencapai kelajuan sehingga 52 knot.

Selain itu, susun atur dalaman FIC G2000 Mk II ini juga telah ditambah baik bagi memberikan lebih keselesaan kepada kru ketika melaksanakan operasi.

Aset-aset ini terbukti efektif digunakan dalam membendung dan menyekat kegiatan jenayah rentas sempadan.

Ia meliputi pengekangan kemasukan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), penyeludupan, pelanunan, rompakan laut, pemerdagangan manusia dan pencerobohan nelayan asing terutamanya di perairan yang mempunyai kedalaman terhad atau cetek.

Dua daripada empat FIC G2000 Mk II yang diterima ini akan ditempatkan di Markas Wilayah Laut 2 (MAWILLA 2), Sandakan dan dua lagi akan ditempatkan di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu.

Ianya adalah bagi memperkasakan tahap keselamatan maritim terutamanya di perairan Sabah Timur selain bertindak sebagai aset pelengkap atau ‘force multiplier’ kepada TLDM. – SABAH MEDIA / FOTO TLDM/ JAPEN SABAH

RELATED ARTICLES
Utama

SSMJ kerjasama dengan agensi Kerajaan pastikan miskin tegar di Sabah dinoktahkan...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular