HomeUtamaPenggerak jentera parti, fasilitator berperanan jelaskan pembangunan dibawa kerajaan

Penggerak jentera parti, fasilitator berperanan jelaskan pembangunan dibawa kerajaan

Read Time:1 Minute, 35 Second

KOTA KINABALU: Semua jentera penggerak parti termasuk fasilitator memainkan tanggungjawab besar sebagai tonggak jentera hadapan untuk menjelaskan perjuangan dan pembangunan yang dibawa kerajaan negeri dalam tempoh tiga tahun ini kepada rakyat, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu berkata ini kerana peserta termasuk semua fasilitator itu akan menjadi jentera hadapan kepada parti mendepani Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Tidak sampai dua tahun lagi, kita akan meminta mandat semula daripada rakyat. Justeru, apa yang penting, kita menjelaskan perjuangan dan pembangunan yang telah dibawa oleh kerajaan GRS sepanjang tempoh pemerintahan, kepada rakyat di peringkat akar umbi.

“Sebagai satu pasukan, kita perlu bekerjasama. Sebab itu, saya meminta kepada semua pengerak jentera parti dan fasilitator, apabila turun padang, jelaskan kepada rakyat bagaimana kerajaan hari ini telah melaksanakan pelbagai pembangunan demi memenuhi mandat rakyat,” katanya dalam majlis Santai Bersama Peserta (Fasilitator) Bersempena Kursus (ToT) Pemantapan Kepimpinan Gagasan Rakyat, di sini baru-baru ini.

Katanya, pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dibawa oleh kerajaan negeri telah berada di landasan yang betul.

“Menerusi agenda SMJ ini, kita telah memperkenalkan dasar mesra pelabur dengan membawa lebih ramai pelabir untuk melabur ke negeri ini, bertujuan mewujudkan peluang pekerjaan kepada anak-anak kita.

“Selain itu, kerajaan negeri telah mengadakan persidangan antarabangsa, jemput pelabur luar dan tempatan untuk datang melihat peluang yang ada di Sabah. Semua usaha ini untuk merancakkan ekonomi, memberi peluang pekerjaan dan mengurangkan kemiskinan di negeri ini.

“inilah cara kita berjuang dan saya mahu pemimpin dan fasilitator membawa semua usaha-usaha yang telah, sedang dan akan dibuat ketika turun padang bertemu rakyat di peringkat akar umbi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata fasilitator juga perlu memberi penekanan mengenai pentingnya perpaduan dalam kalangan rakyat di negeri ini.

“Jika bertemu dengan rakyat di kawasan masing-masing, jelaskan betapa pentingnya memantapkan perpaduan tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

SPRM terima laporan bekas pegawai kanan sebuah syarikat perlombongan di Sabah...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular