HomeUtamaBina semula Klinik Kesihatan Tangkarason terhalang, status tanah belum dimohon KKM melalui...

Bina semula Klinik Kesihatan Tangkarason terhalang, status tanah belum dimohon KKM melalui PTP

Read Time:2 Minute, 30 Second

KOTA KINABALU: Pembinaan semula Klinik Kesihatan Kampung Tangkarason di Beluran yang musnah dalam kebakaran baru-baru ini terhalang apabila dimaklumkan tapak tanah tersebut belum lagi dimohon oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) mengikut rekod daripada Jabatan Tanah Negeri Sabah, kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib.

Pada Khamis lalu, Klinik Kesihatan Kampung Tangkarason dan kuarters kakitangan musnah terbakar dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi.

Sehubungan dengan itu, James baru-baru ini telah mengadakan lawatan ke Klinik Kesihatan Kampung Tangkarason yang terbakar itu dan telahpun mengambil tindakan akan terus membina klinik baharu (konkrit) untuk menggantikan klinik kayu yang terbakar di tapak yang sama.

“Namun demikian apa yang menjadi penghalang kepada kita, tanah tersebut belum lagi dipohon oleh KKM iaitu belum lagi dimohon oleh PTP mengikut rekod daripada Jabatan Tanah.

“Ini merupakan satu perkara yang amat menyedihkan bayangkan klinik berusia 30 tahun lebih dibina tetapi status tanahnya belumpun dimohon oleh KKM melalui PTP di Sabah.

“Apa peranan Pesuruhjaya Tanah Persekutuan di Sabah? Adakah mereka ini makan gaji buta? Adakah mereka ini hanya mengambil gaji atau tidak mahu bekerja?,” tegas James.

Beliau berkata demikian semasa mengadakan sidang media khas di pejabat kementeriannya di sini hari ini.

Menurut James, masalah sama juga pernah berlaku apabila Klinik Kesihatan Mansiat di Sook musnah terbakar pada Jun 2022, pembinaan semula klinik tersebut juga terhalang disebabkan status tanah belum diwartakan walaupun permohonan telah dibuat sejak tahun 1979.

“Tetapi apabila kita bawa mesyuarat baru-baru ini bersama dengan Jabatan Tanah, barulah tanah tersebut dikeluarkan tawaran untuk membina Klinik Kesihatan Mansiat yang baharu di Sook,” katanya.

James turut mendedahkan sebanyak 23 projek Klinik Kesihatan di Sabah mengalami masalah status tanah belum diwartakan sejak bertahun lama.

“Dua minggu lalu, saya telah mengadakan perbincangan dengan PTP dan Jabatan Tanah mengenai masalah status tanah 23 projek Klinik Kesihatan tersebut, masalah itu telah selesai dalam masa satu hari,” katanya.

Bagaimanapun, James berkata, selain masalah tanah ada juga masalah-masalah kecil lain seperti bekalan air, letrik, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan juga masalah teknikal seperti Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam melaksanakan projek-projek Klinik Kesihatan tersebut.

Dalam pada itu, beliau turut memberi amaran kepada pengarah-pengarah dan ketua-ketua jabatan berkaitan memastikan mereka menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan dengan sewajarnya.

“Saya minta kepada semua pengarah-pengarah arahkan pegawai-pegawai mereka supaya selesaikan masalah tanah di negeri Sabah ini.

“Saya minta kepada YAB Ketua Menteri supaya mengambil tindakan sewajarnya kepada mana-mana pengarah dan pegawai yang tidak menjalankan tugas dan tanggungjawabnya dalam jabatan-jabatan mereka,” tegas beliau lagi.

Untuk rekod, status terkini projek klinik daif tahun 2023 iaitu sebanyak 23 buah Projek Klinik Daif (23), 12 buah Klinik telah siap (November 2023), 11 buah Klinik Daif masih dalam fasa pelaksanaan.

Manakala terdapat tiga buah klinik dikhuatiri tidak sempat siap kerana penutupan akaun tahunan pada 15 Disember 2023 iaitu Klinik Daerah (KD) Sepagaya, Lahad Datu, KD Kaniogan, Beluran dan Klinik Kesihatan (KK) Sungai-Sungai, Beluran.

Jumlah peruntukan projek klinik daif bagi tahun 2023 iaitu sebanyak RM10,807,125.50.

RELATED ARTICLES
Utama

KPKM komited teroka peluang baharu tingkat penyertaan belia dalam bidang pertanian

Bangunan Kerajaan Sabah Pentadbiran Sabah Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular