HomeIsu tempatan4,864 kanak-kanak kurang berkemampuan terima manfaat menerusi program berkhatan

4,864 kanak-kanak kurang berkemampuan terima manfaat menerusi program berkhatan

Read Time:1 Minute, 52 Second

Papar:  Program berkhatan yang dilaksanakan sejak 33 tahun di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Manis di sini telah berjaya memberi manfaat kepada 4,864 kanak-kanak dari keluarga kurang berkemampuan.

Pengerusi Angkatan Hebat Sdn Bhd (AHSB) Datuk Abdul Rahim Ismail berkata, program yang mula dilaksanakan secara berkelompok pada 1991 itu dilihat sebagai program ‘cincai’ namun banyak membantu banyak pihak sebelum dijadikan sebagai acara tahunan.

“Ini adalah tahun ke-33 penganjurannya dan kita hanya terhenti dalam tahun 2019 kerana suasana politik yang berbeza dan kita teruskan atas permintaan ibu bapa. Ini juga merupakan sentuhan kasih yang luar biasa yang pada mulanya kita ragukan hasilnya, adakah ia berjaya atau tidak, apa kesan yang diperolehi daripada anak-anak ini.

“Namun, selepas 33 tahun anak-anak ini  berkembang menjadi tokoh profesional, tokoh akademik, penjawat awam yang berkaliber dan sebagainya. Ini kesannya kepada masyarakat setempat yang bermula dengan program yang dianggap sebagai  program cincai rupanya program ini bermanfaat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Berkhatan Peringkat DUN Pantai Manis di sini, semalam.

Abdul Rahim yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN) Pantai Manis berkata, program itu dianjurkan bersama Gagasan Rakyat Bahagian Pantai Manis dan Pejabat Parlimen Papar.

Majlis dilancarkan Ahli Parlimen Papar Datuk Armizan Mohd Ali dan disertai 120 kanak-kanak yang berumur di antara sembilan hingga 14 tahun.

Antara yang hadir, Pegawai Daerah Mohd Fuad Abdullah, Setiausaha Sulit Menteri Perdagangan Dalam Negeri Roslie Ibrahim dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat DUN Pantai Manis, Rahman Latif.

Dalam perkembangan lain, Abdul Rahim menggesa masyarakat agar terus fokus dan menyokong usaha kerajaan menerusi projek menaik taraf Loji Rawatan Air Kampung Kogopon yang dijangka siap pada pertengahan tahun depan.

Katanya, loji tersebut bakal meningkatkan kapasiti bekalan air daripada 40 juta liter kepada 80 juta liter sekali gus menyelesaikan masalah bekalan air bersih di daerah Papar dan kawasan sekitarnya.

“Pada tahun 2018, kita mengalami tsunami politik dan malangnya usaha kerajaan terdahulu dengan yang bajet sudah diluluskan tetapi tidak diteruskan. 

“Hari ini, pihak tersebut melemparkan tuduhan adalah masalah yang dicipta oleh Ketua Menteri dan konco-konconya tetapi  realitinya ia bermula daripada terhentinya projek persekutuan termasuk jambatan Papar, bekalan air dan banyak lagi program yang jelas memberi manfaat kepada rakyat,”katanya.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

48 murid SK Sembulan sertai Program Khatan beramai-ramai

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular