HomePendapatRakyat wajar bersedia hadapi kehidupan semakin mencabar, situasi ekonomi masih goyah

Rakyat wajar bersedia hadapi kehidupan semakin mencabar, situasi ekonomi masih goyah

Read Time:7 Minute, 59 Second

Oleh Wan Azrain Adnan

1.         Nilai matawang Ringgit Malaysia kini hangat di perkatakan di seluruh negara, dari kedai kopi hinggalah ke pejabat korporat, ke menara gading. Kejatuhan nilai Ringgit semasa ke tahap yang begitu rendah telah menimbulkan keresahan pelbagai pihak – rakyat, peniaga, pelabur, ahli akademik, ibubapa, pelajar.   

2.         Baru-baru ini, berbanding dengan nilai matawang dollar Amerika Syarikat, nilai Ringgit telah jatuh ke tahap yang paling rendah dalam tempoh 26 tahun, sejak Krisis Kewangan Asia pada tahun 1998. Manakala, berbanding nilai dollar Singapura pula, nilai Ringgit kini berada di tahap paling rendah dalam sejarah.

3.         Menurut kenyataan Gabenor Bank Negara Malaysia pada 20 Februari 2024, prestasi nilai Ringgit telah di pengaruhi oleh beberapa faktor luaran, termasuklah – pelarasan pasaran kepada jangkaan kadar faedah Amerika Syarikat, kebimbangan geopolitik dan ketidakpastian berkaitan dengan prospek ekonomi China.

4.         Gabenor Bank Negara Malaysia berpandangan bahawa nilai Ringgit semasa tidak menggambarkan prospek positif ekonomi negara menuju ke hadapan. Tambahan lagi, beliau menyatakan bahawa kebanyakan penganalisis mengunjurkan nilai Ringgit akan mengukuh pada tahun ini, selaras dengan komitmen Kerajaan Malaysia untuk melaksanakan reformasi struktur serta jangkaan penurunan kadar faedah/ interest rate di ekonomi negara-negara maju.

5.         Sebagai contoh. MIDF Research berpendapat bahawa nilai Ringgit berada di dalam kedudukan yang baik untuk mengukuh semula berbanding dollar Amerika Syarikat. MIDF Research mengunjurkan nilai Ringgit akan mengukuh pada tahun 2024, dengan purata RM 4.38/ US Dollar, dan mencecah RM 4.20/ US Dollar menjelang akhir tahun 2024.

Sebagai perbandingan, pada tahun 2023, purata nilai Ringgit adalah RM 4.56/ US Dollar, dan berakhir dengan nilai RM 4.59/ US Dollar.

6.         Pada masa yang sama, S&P Global Ratings juga menjangkakan nilai Ringgit akan mengukuh, dan mengunjurkan nilai Ringgit akan mengukuh kepada RM 4.40/ US Dollar pada akhir tahun 2024, dan kepada RM 4.30/ US Dollar pada akhir tahun 2025.

7.         Di samping itu, S&P Global Ratings berpendapat bahawa kelemahan nilai Ringgit semasa tidak akan memberi kesan kepada Penarafan Kredit Negara/ Sovereign Rating Malaysia, yang di berikan penarafan A- oleh S&P sejak 2003.

8.         Petanda ekonomi sememangnya menunjukkan ekonomi negara berada di landasan yang kukuh untuk menghasilkan pertumbuhan yang memberangsangkan. Bank Negara Malaysia menjangkakan ekonomi negara akan berkembang di antara 4% – 5% pada tahun 2024. Penganalisis turut menjangkakan pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan: Hong Leong Investment Bank (4.8%), Kenanga Research (4.5% – 5%), UOB Global Economics & Markets Research (4.6%).

Pada tahun 2023, ekonomi negara berkembang sebanyak 3.7%.

9.         Seterusnya, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar inflasi negara adalah 1.5% untuk bulan Januari 2024. Ini merupakan trend menurun berbanding dengan kadar inflasi beberapa bulan lepas: 1.9% (Sept 2023), 1.8% (Okt 2023), 1.5% (Nov 2023), 1.5% (Dis 2023).

Sebagai perbandingan, kadar inflasi tahunan negara adalah: 2.5% (2021), 3.3% (2022) dan 2.5% (2023).

10.       Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) turut melaporkan bahawa kadar pengganguran negara untuk tahun 2023 berada pada tahap 3.4%, dengan sejumlah 580,700 penggangur. Ini merupakan kadar pengganguran terendah sejak pandemik Covid-19.

Sebagai perbandingan, kadar pengganguran negara adalah:  4.6% (2021), 3.9%: (2022).

11.       Beberapa hari lepas, selepas Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN), Perdana Menteri Malaysia telah menyatakan bahawa, pada tahun 2023, Malaysia telah mencatatkan jumlah pelaburan di luluskan tertinggi di dalam sejarah negara, sebanyak RM 329.5 billion. Daripada jumlah tersebut, pelaburan asing adalah RM 188.5 billion (57.2%), dan pelaburan domestik adalah RM 141 billion (42.8%).

Ini merupakan peningkatan 23% berbanding tahun 2022.

12.       Jumlah pelaburan tersebut di jangka akan menyediakan 127,000 peluang pekerjaan, membabitkan 5,101 projek. Ini sudah pasti akan memberi manfaat kepada rakyat Malaysia, dan mengurangkan kadar pengganguran negara.

13.       Jumlah pelaburan yang besar ini adalah berita baik kerana pelaburan asing/ Foreign Direct Investment (FDI)ke Malaysia telah menunjukkan trend menurun sejak 2016, sebelum melonjak tinggi sehingga kini: RM 47 billion (2016), RM 40.4 billion (2017), RM 30.7 billion (2018), RM 31.7 billion (2019), RM 13.3 billion (2020), RM 50.4 billion (2021), RM 74.6 billion (2022).

                                                                                    Sumber: The Star, 16 Jun 2023

14.       Namun begitu, masih terlalu awal untuk meraikan dan merasa selesa dengan kejayaan ini serta petanda ekonomi yang semakin baik. Ekonomi negara masih memerlukan perubahan transformatif untuk menjana pertumbuhan jangka panjang yang mampan, yang dapat menambah-baik kualiti hidup rakyat.

Tambahan lagi, limpahan manfaat daripada jumlah pelaburan yang besar ini akan mengambil masa untuk di nikmati sepenuhnya oleh rakyat Malaysia.

15.       Menurut Pakar Ekonomi Bank Dunia/ World Bank, kelemahan nilai Ringgit semasa adalah gejala kemerosotan jangka panjang daya-saing negara. Sepanjang beberapa dekad lalu, Malaysia kurang melaksanakan reformasi. Beliau turut menyatakan bahawa nilai matawang sesebuah negara adalah gambaran kepada kerancakan sosial kemasyarakatan, ekonomi dan politik.

16.       Laporan World Competitiveness Ranking 2023, yang di terbitkan oleh International Institute for Management Development (IMD), telah meletakkan Malaysia di tangga ke-27, dari 64 negara yang tersenarai. Di kalangan negara-negara ASEAN, Malaysia berada di tempat kedua: Singapura (tangga ke-4), Thailand (ke-30), Indonesia (ke-34) dan Filipina (ke-52).

17.       Tetapi, daripada 20 sub-kategori yang di nilai, hanya enam kategori di mana Malaysia berada di kedudukan 20 teratas, manakala 11 kategori di kedudukan 30 ke bawah. Malah, untuk kategori Pendidikan dan Perundangan Perniagaan, Malaysia berada di tangga ke-45.

18.       Justeru itu, isu-isu dalaman yang menyumbang kepada kelemahan nilai Ringgit wajar di beri keutamaan untuk di tangani oleh Kerajaan Malaysia. Walaupun kemerosotan nilai Ringgit ada kesan positif kepada negara, ianya boleh mengugat kemampanan ekonomi dan kesejahteraan rakyat untuk jangka masa panjang.  

19.       Sebagai contoh. Malaysia bergantung tinggi kepada import makanan untuk memenuhi permintaan tempatan. Malah, import makanan negara telah meningkat sebanyak 95% dalam tempoh 10 tahun: RM 38.8 billion (2013), RM 42.6 billion (2014), RM 45.13 billion (2015), RM 51.3 billion (2017), RM 52 billion (2018), RM 55.4 billion (2020), RM 63.59 billion (2021), RM 75.54 billion (2022).

20.       Apabila nilai Ringgit merosot, kos import makanan akan meningkat, dan rakyat terpaksa membayar harga makanan yang lebih tinggi. Di samping itu, kos pengeluaran makanan di dalam negara juga akan meningkat kerana sebahagian besar input pertanian seperti makanan haiwan, racun dan baja adalah di import. Dan ini akan menyebabkan harga makanan keluaran tempatan turut meningkat. Ini sudah pun berlaku tidak lama dahulu apabila negara menghadapi krisis dua makanan utama negara, iaitu – ayam dan beras.

21.       Kadar inflasi rendah yang di rekodkan ketika ini tidak bermakna kos sara hidup rakyat turut merendah. Kadar inflasi positif bermakna harga barang terus meningkat. Trend kadar inflasi menurun hanyalah bermakna harga barang terus meningkat, tetapi meningkat secara lebih perlahan.

Maka, rakyat tetap juga menghadapi cabaran kos sara hidup yang semakin meninggi.

22.       Pada masa yang sama, harga barangan dan perkhidmatan di dalam negara di jangka meningkat apabila kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan/ Sales and Service Tax (SST) di naikkan dari 6% kepada 8% oleh Kerajaan Malaysia bermula 1 Mac 2024. Ini bakal memberi kesan negatif dan menyebabkan kadar inflasi negara meningkat. Malah, ada pihak berkaitan yang telah pun memberi indikasi dan pengumuman mengenai harga baru dengan kadar SST 8%.

23.       Sebagai contoh. Presiden Malaysian Hotel Association (MHA) di laporkan berkata bahawa harga bilik hotel di jangka akan meningkat di antara 10% – 30%. Manakala Presiden Malaysia Budget & Business Hotel Association (MyBHA) pula di laporkan berkata bahawa harga bilik hotel di jangka meningkat sehingga 50%, akibat kadar SST 8% terhadap keseluruhan rantaian bekalan/ supply-chain di dalam industri perhotelan.

24.       Google telah pun mengumumkan bahawa harga perkhidmatan mereka di Malaysia akan meningkat bermula 1 Mac 2024, selari dengan kadar SST 8% tersebut.

25.       Kenaikkan kadar SST 8% ini di kecualikan untuk beberapa sektor atau perkara, termasuklah – perkhidmatan makanan dan minuman, telekomunikasi dan logistik, di mana kadar SST 6% di kekalkan. Namun begitu, kesan kenaikkan kadar SST 8% di sektor atau perkara yang terlibat akan turut memberi kesan negatif kepada keseluruhan rantaian bekalan/ supply-chain ekonomi negara.

26.       Maka rakyat Malaysia wajar bersedia untuk menempuhi kehidupan seharian yang semakin mencabar, dengan situasi ekonomi negara yang masih goyah pada tahun 2024.

RELATED ARTICLES
Utama

MUIS, JHEAINS digesa bincang, kajian bina kuarters

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular