HomeUtamaKerja penyambungan paip transmisi, punca air bertukar 'milo'

Kerja penyambungan paip transmisi, punca air bertukar ‘milo’

Read Time:1 Minute, 30 Second

Kota Kinabalu : Kerja-kerja penyambungan paip transmisi yang dilakukan kontraktor di persimpangan Manggatal menjadi antara punca bekalan air sekitar Rampayan dan Inanam laut menjadi keruh dan berbau.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, kerja penyambungan oleh kontraktor terlibat itu telah dijalankan pada Jumaat lalu.

“Tindakan segera yang telah dilakukan oleh pihak Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) adalah dengan membuat pembuangan air (flushing) pada transmisi utama sepanjang kawasan yang terjejas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya berkata, pihak JANS kini sedang menyiasat perkara itu bagi mengenal pasti sekiranya berlaku kecuaian di pihak kontraktor.

Katanya, sekiranya berlaku kecuaian, tindakan undang-undang akan diambil jika kontraktor terbabit melakukan kecuaian.

Sementara itu, berhubung masalah bekalan air di Papar, beliau berkata, Loji Rawatan Air (LRA) Limbahau terpaksa dihentikan buat seketika.

Katanya, ini adalah disebabkan krisis air masin yang masuk ke permukaan intake loji menyebabkan keadaan air mentah tidak dapat diproses untuk diasalurkan kepada pengguna. 

“Bagi kawasan terjejas disebabkan krisis air masin di Sungai Papar tersebut, pihak Jabatan Air Daerah Papar dalam usaha berterusan membuat penghantaran air ke kawasan yang terjejas.

“Selain itu, air dari loji Kogopon juga disalurkan ke kawasan terjejas namun terdapat beberapa kawasan yang mengalami tekanan air rendah menjadikannya agak sukar untuk disalurkan,” katanya.

Dalam pada itu, Shahelmey turut mengulas mengenai masalah yang dilaporkan berlaku di Melinsung Apartment, Papar yang berpunca daripada tangki milik taman perumahan itu yang tidak pernah dibersihkan sejak apartment itu mula beroperasi.

“Kerja-kerja pembersihan tangki adalah tanggungjawab pihak pengurusan  apartment tersebut. Air menjadi keruh akibat gangguan mendapan apabila masuk ke rumah penghuni semasa air dipam masuk ke dalam tangki. 

“JANS masih menanti laporan pembersihan tangki daripada pihak pengurusan Melinsung Apartment. Kompaun akan dikeluarkan sekiranya didapati belum ada kerja-kerja pembersihan dilakukan,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO MEDIA SOSIAL

RELATED ARTICLES
Utama

Polis nafi dakwaan perobohan rumah balu anggota PDRM di Semporna

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular