HomeUtamaDua projek baharu diluluskan, usaha pelihara warisan budaya

Dua projek baharu diluluskan, usaha pelihara warisan budaya

Read Time:2 Minute, 13 Second

TUARAN: Kerajaan negeri meluluskan dua projek baharu tahun ini membabitkan Projek Pembangunan Sistem Pemetaan Budaya Bersepadu Negeri Sabah dan Projek Kajian Restorasi Bangunan Pejabat Lama Pejabat Perkhidmatan Kebajikan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata kedua-dua projek baharu itu diluluskan di bawah Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), antara usaha diambil untuk memulihara dan melindungi warisan budaya sebagai lambang ketamadunan negeri ini.

Katanya, sebanyak RM2 juta diperuntukkan bagi projek Pembangunan Sistem Pemetaan Budaya Bersepadu Negeri Sabah manakala Kajian Restorasi Bangunan Pejabat Lama Pejabat Perkhidmatan Kebajikan membabitkan peruntukan sebanyak RM200,000.

“Projek pemetaan ini bertujuan mentransformasikan kaedah pengurusan maklumat budaya etnik Sabah kepada sistem maklumat moden selaras dengan Pelan Pendigitalan Kerajaan.

“Kajian itu pula bakal menyaksikan pembangunan semula bangunan bersejarah – Pejabat British North Borneo Chartered Company yang ketika dahulu musnah oleh kebakaran.

“Bangunan ini juga bertujuan memulihara dan melindungi tapak dan bangunan bersejarah, selain akan menjadi galeri seni budaya yang penting di Sabah. Kedua-dua projek ini merupakan projek baharu dan dipertanggungjawabkan kepada Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah”, katanya.

Hajiji bersalaman dengan orang ramai selepas merasmikan Festival Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah di Dewan Pusat Kebudayaan Bajausama Sabah, Kampung Lok Batik, Tuaran pada Rabu. – Foto ihsan JKM Sabah

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Festival Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah di Dewan Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausama, Kampung Lok Batik Tuaran pada Rabu.

Hajiji berkata, pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan bagi membolehkan jumlah pelancong ke Sabah yang dijangka mencecah tiga juta orang pada tahun ini, dapat
dicapai.

Menurutnya, selain keseniaan dan kebudayaan, produk pelancongan seperti Pelancongan Berasaskan Komuniti merupakan segmen ekopelancongan yang semakin mendapat perhatian dari pelbagai lapisan masyarakat tempatan mahupun antarabangsa.

Beliau juga menggesa persatuan-persatuan etnik di negeri ini terus membangunkan dan
memartabatkan budaya etnik dan produk pelancongan berasaskan komuniti di kawasan masing-masing, selain bekerjasama memperkasa dan memulihara warisan budaya etnik Sabah.

Hajiji berkata, keistimewaan dan keunikan Sabah yang mempunyai kepelbagaian warisan, etnik, budaya dan kaum, merupakan aset yang penting sebagai tarikan pelancong dan perlu terus dipelihara serta dilindungi sebagai lambang ketamadunan masyarakat negeri ini.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Rumpun Bajausama Sabah berharap Festival Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah yang berlangsung selama empat hari sejak
Ahad lalu, menjadi medan untuk memulihara khazanah budaya di negeri ini.

“Ia juga sejajar dengan objektif penganjuran festival ini iaitu untuk memulihara dan memartabatkan budaya tradisi serta mengeratkan silaturrahim dalam kalangan penduduk setempat.

“Festival ini yang telah pun dimasukkan ke dalam kalender pelancongan, tidak hanya dihadiri oleh rumpun Bajausama malah turut dimeriahkan oleh semua lapisan masyarakat berbilang kaum dan keturunan di negeri ini”, ujarnya.

Tambah beliau, festival itu juga merupakan medium yang dapat menarik minat generasi muda terlibat sama dalam pelbagai acara kesenian dan kebudayaan rumpun Bajausama di negeri ini.

RELATED ARTICLES
Utama

KPKM komited teroka peluang baharu tingkat penyertaan belia dalam bidang pertanian

Bangunan Kerajaan Sabah Pentadbiran Sabah Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular