HomeUtamaKWSP umum dividen tinggi bagi 2023 berbanding 2022

KWSP umum dividen tinggi bagi 2023 berbanding 2022

Read Time:2 Minute, 13 Second

BERNAMA

Kuala Lumpur : Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan kadar dividen 5.50 peratus bagi simpanan konvensional dengan jumlah agihan sebanyak RM50.33 bilion.

KWSP juga mengumumkan dividen 5.40 peratus untuk simpanan syariah dengan jumlah agihan sebanyak RM7.48 bilion membawa kepada keseluruhan jumlah agihan pendapatan bagi 2023 sebanyak RM57.81 bilion.

Pembayaran dividen ini menandakan peningkatan yang ketara dari 2022, yang mana kadar dividen berada pada 5.35 peratus bagi simpanan konvensional dan 4.75 peratus bagi simpanan Syariah.

“Agihan dividen sebanyak RM57.81 bilion itu akan memanfaatkan lebih 16 juta ahli KWSP, merangkumi individu dari kedua-dua sektor formal dan informal,” kata KWSP dalam satu kenyataan hari ini.

Dana simpanan persaraan itu berkata bagi tahun berakhir 31 Disember, 2023, KWSP mencatatkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM66.99 bilion, meningkat 29 peratus berbanding RM51.91 bilion pada 2022.

“Daripada RM66.99 bilion jumlah pendapatan pelaburan, RM5.72 bilion dijana daripada keuntungan mark-to-market (MTM) sekuriti yang belum direalisasikan dan tidak akan menjadi sebahagian daripada pengagihan dividen.

“Adalah menjadi amalan berhemat KWSP membayar dividen hanya daripada pendapatan yang direalisasikan,” katanya.

KWSP berkata aset pelaburan KWSP terus mencatat pertumbuhan kukuh sebanyak RM1.135 trilion pada 2023 , naik 13 peratus berbanding RM1.0 trilion pada Tahun Kewangan 2022.

“Peningkatan ini merangkumi pendapatan yang dijana daripada portfolio dan jumlah caruman diterima pada 2023 berjumlah RM97.56 bilion, naik 15 peratus berbanding RM84.78 bilion pada 2022,” katanya.

Pengerusinya Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir berkata selepas mengambil kira kadar inflasi, dividen sebenar bagi simpanan konvensional ialah 2.89 peratus dan 2.51 peratus untuk simpanan Syariah pada asas tiga tahun (2021-2023), melebihi sasaran strategik KWSP iaitu sekurang-kurangnya 2 peratus dividen sebenar dalam tempoh yang sama.

Beliau berkata walaupun berdepan dengan ketegangan geopolitik, peningkatan kadar faedah, inflasi, konflik rantau, serta masalah sektor hartanah China, ekonomi global tetap berdaya tahan dan memberikan prestasi di luar jangkaan.

“Alhamdulillah, KWSP berupaya memberikan hasil dividen yang lebih baik berikutan prestasi berdaya tahan pada tahun 2023, dengan ekuiti memainkan peranan penting dalam memacu prestasi keseluruhan,” katanya.

Tahun 2023 menyaksikan prestasi bercampur-campur dalam pasaran ekuiti global, terutamanya antara ASEAN berbanding pasaran maju.

Walaupun Indeks penanda aras ekuiti pasaran maju menyaksikan pertumbuhan positif kedua-dua indeks FBM KLCI dan ASEAN menyaksikan pertumbuhan negatif dengan FBM KLCI merosot sebanyak 2.7 peratus.

Bagaimanapun, Ahmad Badri berkata gandingan Alokasi Aset Strategik (SAA) dengan pengurusan portfolio yang aktif membolehkan KWSP mencapai keputusan yang baik bagi 2023.

Beliau berkata, berhadapan dengan pasaran global yang mencabar, pendekatan pelaburan KWSP yang berdaya tahan dan fokus terhadap memberikan nilai jangka panjang seharusnya membolehkan ia terus memberikan prestasi yang kukuh di samping dapat mengekalkan komitmen kepada ahlinya. – BERNAMA

RELATED ARTICLES
Utama

KPKM komited teroka peluang baharu tingkat penyertaan belia dalam bidang pertanian

Bangunan Kerajaan Sabah Pentadbiran Sabah Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular