HomeUtamaKPDN tangani isu ketirisan barang kawalan di sempadan

KPDN tangani isu ketirisan barang kawalan di sempadan

Read Time:3 Minute, 12 Second

PULAU SEBATIK: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hari ini telah mengadakan tinjauan ke sempadan perairan Malaysia-Indonesia di samping pemantauan pengedaran barang kawalan di Pulau Sebatik, Tawau.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata antara objektif lawatan kerja ini adalah untuk melihat operasi di lapangan kerjasama agensi-agensi penguatkuasaan di kawasan sempadan bagi menangani isu ketirisan barang-barang kawalan dan barang-barang kawalan bersubsidi.

“Selain mendapatkan maklum balas masyarakat setempat tentang keberadaan bekalan barang-barang keperluan harian.

“Seterusnya mengenal pasti mekanisme penambahbaikan pelaksanaan Program Penyeragaman Harga Barang Kawalan dan Barang Perlu di kawasan sempadan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Pada masa kini, KPDN mengadakan kerjasama strategik dengan pelbagai agensi menerusi pendekatan operasi bersepadu bermula pada tahun 2020 bagi memantau pengedaran dan mengawal ketirisan barangan kawalan.

Antara agensi utama yang terlibat ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya Pasukan Gerakan Am dan Pasukan Polis Marin, Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM),
Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Kerjasama ini meliputi pemantauan dan pemeriksaan di kawasan sempadan
Malaysia-Indonesia yang berpotensi digunakan sebagai laluan utama aktiviti penyeludupan.

Atas komitmen untuk memperkukuhkan kerjasama dan keberkesanan penguatkuasaan, KPDN telah mengadakan Bengkel Penyelarasan Tanggungjawab Membanteras Ketirisan Barang Kawalan bersama 16 agensi Penguatkuasaan di Sabah berlangsung di Kota Kinabalu pada 22 Februari lalu.

Antara fokus penambahbaikan mekanisme penguatkuasaan adalah keperluan logistik semasa tangkapan dan sitaan, bantuan keselamatan, perkongsian maklumat dan Prosedur Operasi Standard (SOP) serahan kes
daripada pelbagai agensi kepada Bahagian Penguat Kuasa, KPDN.

Sehubungan dengan itu, Armizan berkata, KPDN juga meletakkan keutamaan untuk menambahbaik pelaksanaan Program Penyeragaman Harga Barang Kawalan Bagi Kawasan Pedalaman dan Pulau-Pulau.

“Program ini melibatkan peruntukan subsidi kerajaan bagi penghantaran barang-barang kawalan dan barang perlu dari Pusat Bekalan (Point of Source) kepada Pusat Jualan (Point of Sale).

“Setakat ini, tujuh jenis barangan terlibat adalah diesel, petrol RON95, gas petroleum cecair (LPG), minyak masak, beras putih, gula putih bertapis kasar dan tepung gandum,” katanya.

Jelas beliau, penambahbaikan ini akan melibatkan empat komponen iaitu kaedah perolehan pelantikan syarikat perkhidmatan pengangkutan (transporter), penentuan jumlah kuantiti bekalan, mekanisme kawalan pengedaran bekalan dan kaedah pemantauan penjualan.

“Penambahbaikan perlu dilaksanakan untuk memastikan objektif pelaksanaan program ini dapat dicapai sekali gus menangani ketirisan subsidi kerajaan dan manfaat pelaksanaan sampai kepada golongan sasar,” tegasnya.

Beliau berkata, komponen pertama kaedah
perolehan telah ditambah baik bermula tahun 2023 dengan pelaksanaan proses tender terbuka berbanding proses pelantikan secara rundingan terus yang diguna pakai sebelum ini.

“Bagi tahun 2024, penambahbaikan akan dirintis untuk tiga komponen yang lain
termasuk rujukan kepada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) untuk mendapatkan anggaran keperluan isi rumah di sesebuah kawasan untuk menentukan jumlah kuantiti bekalan.

“Pada masa yang sama, sistem pelaporan pengedaran dan penjualan perlu diperkukuhkan untuk memastikan bekalan sampai dan dimanfaati golongan sasar.

“Mekanisme yang lebih teliti wajar dipertimbangkan untuk kawasan berisiko ketirisan seperti Pulau Sebatik yang merupakan kawasan sempadan. Ini termasuk mendapatkan kerjasama organisasi pentadbiran setempat,” ujarnya.

Mengenai Program Penyeragaman Harga Barang Kawalan dan Barang Perlu (PoS to Pos), Armizan berkata, ia adalah bertujuan untuk membantu rakyat menangani kos sara hidup.

“Program ini disasarkan untuk manfaat penduduk di kawasan pedalaman dan pulau-pulau yang terpaksa membayar pada harga yang tinggi berbanding penduduk yang berada di kawasan bandar dan pekan disebabkan isu logistik rantaian bekalan.

“Melalui program ini, kerajaan akan menampung kos pengangkutan dengan
melantik syarikat-syarikat transporter untuk menghantar bekalan barangan ke
kawasan dan lokasi yang ditetapkan.

“Peruntukan keseluruhan Program Penyeragaman Harga yang diluluskan bagi
tahun 2024 adalah sebanyak RM225 juta.

“Bagi daerah Tawau dan Kalabakan, sebanyak tiga zon terlibat meliputi 13 kawasan pengedaran dan 32 buah Point of Sale.

“Bagi Zon Sebatik, terdapat lapan kawasan pengedaran yang terlibat iaitu Wallace Bay, Mentadak, Sungai Tongkang, Bergusong, Sungai Pukul, Sungai Pisak-Pisak, Sungai Lahi dan Sungai Laba dengan 21 buah Point of Sale,” katanya.

RELATED ARTICLES
Utama

278 penduduk Kg Linapasan terima manfaat jambatan gantung baharu

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular