HomeUtamaPM tiba di Berlin untuk lawatan rasmi ke Jerman

PM tiba di Berlin untuk lawatan rasmi ke Jerman

Read Time:1 Minute, 56 Second

BERLIN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di ibu negara Jerman, di sini hari ini, untuk lawatan rasmi beliau ke negara yang menjadi rakan perdagangan terbesar Malaysia dalam kalangan anggota Kesatuan Eropah (EU).

Pesawat yang membawa beliau selamat mendarat di Lapangan Terbang Brandenburg di sini, pada jam 10.29 malam Ahad waktu tempatan (5.29 pagi Isnin waktu Malaysia).

Menyambut ketibaan Perdana Menteri di lapangan terbang ialah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Duta Besar Malaysia ke Jerman, Datin Paduka Dr Adina Kamarudin dan pegawai kerajaan Jerman.

Memulakan rangka lawatan sebaik tiba di sini, Anwar dijadual melawat Siemens Energy sebelum mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan sejawat beliau, Canselor Olaf Scholz dan kunjungan hormat ke atas Presiden Jerman, Frank-Walter Steinmeier.

Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan kemajuan hubungan Malaysia-Jerman terutama kerjasama ekonomi, pendidikan, alam sekitar dan kelestarian selain bertukar pandangan mengenai isu serantau serta antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

Sepanjang lawatan enam hari itu, yang turut merangkumi kunjungan ke bandar pelabuhan Hamburg, Anwar akan bertemu kapten-kapten industri dan pelabur berpotensi seperti Schott AG, Infineon Technologies AG, Melexis dan Airbus serta menghadiri sesi bersama diaspora Malaysia di Jerman.

Turut mengiringi Anwar ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.

Ketika di Berlin, Perdana Menteri akan menyampaikan ucapan di Yayasan Korber iaitu sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan yang memfokus kepada isu sosial dan politik serta ucaptama di SME Future Day 2024 anjuran Persatuan Perniagaan Kecil dan Sederhana Jerman (Bundesverband mittelständische Wirtschaft – BVMW).

Di Hamburg, Anwar akan menghadiri Majlis Makan Malam Persahabatan Asia Timur ke-101 (Ostasiatisches Liebesmahl) anjuran Persatuan Perniagaan Asia Pasifik Jerman, di mana beliau dijadual menyampaikan ucaptama.

Perdana Menteri akan turut bertemu diaspora Malaysia dan umat Islam di Jerman serta menunaikan solat Isyak dan Tarawih di Masjid Sehitlik, Berlin. 

Menurut Wisma Putra, lawatan rasmi Perdana Menteri itu dijangka mengeratkan lagi hubungan dua hala serta kerjasama pelbagai bidang di antara Putrajaya dan Berlin.

Jerman adalah rakan perdagangan terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota EU sejak tahun 2000, manakala Malaysia menjadi rakan perdagangan terbesar Jerman dalam kalangan negara anggota ASEAN.

Pada 2023, nilai dagangan Malaysia dengan Jerman meningkat sebanyak 5.9 peratus kepada RM63.45 bilion (AS$13.90 bilion) berbanding RM59.87 bilion (AS$13.62 bilion) pada 2022. – BH

RELATED ARTICLES
Utama

Pelbagai inisiatif pembangunan dilaksanakan melalui Hala Tuju SMJ

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular