HomeIsu tempatanTamu bantu perkasa sosioekonomi penduduk luar bandar - Roslan

Tamu bantu perkasa sosioekonomi penduduk luar bandar – Roslan

Read Time:1 Minute, 38 Second

KOTA BELUD: Pewujudan tamu di kawasan perkampungan sangat penting bagi merancakkan aktiviti sosioekonomi penduduk di samping membuka peluang kepada peniaga di daerah ini untuk meluaskan perniagaan.

Ketua Daerah Kota Belud OKK Roslan Duraman berkata tamu atau pasar minggu, pada hari ini bukan hanya sekadar tempat pertemuan masyarakat untuk memenuhi keperluan dan kehendak individu secara turun temurun tetapi berperanan untuk memperkasakan sumber ekonomi dan pendapatan penduduk luar bandar.

“Peranan tamu hari ini dilihat lebih dari tempat pertemuan penduduk untuk mendapatkan barangan tetapi kini peranannya lebih penting sebagai tempat strategik bagi penduduk kampung meningkatkan sosioekonomi masyarakat luar bandar.

“Malah, komuniti tidak lagi perlu ke pekan untuk keluar membeli bahan mentah kerana tamu menawarkan bekalan makanan dan keperluan harian yang segar pada kadar yang berpatutan kepada pengguna.

“Ia juga berperanan untuk mengetengahkan produk-produk tempatan serta untuk memperkenalkan Kadamaian sebagai destinasi kunjungan orang ramai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Tamu Mukim Lasau, Kadamaian Kota Belud.

Roslan yang juga Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Bahagian Kadamaian berkata, tamu luar bandar seperti Mukim Lasau ini sangat penting sebagai satu langkah positif merapatkan jurang ekonomi masyarakat bandar dan kawasan luar bandar.

“Justeru, saya berharap kerajaan dapat membantu terutama kemudahan asas seperti infrastruktur yang baik serta kemudahan lain untuk kemudahan penduduk ketika berkunjung ke Tamu Lasau Podi serta memudahkan penduduk kampung membawa hasil pertanian mereka ke kawasan tamu.

“Apa yang sangat penting ialah memperkasakan infrastruktur kawasan luar bandar supaya tamu ini bukan sahaja dikunjungi oleh masyarakat kampung tetapi juga mudah dikunjungi pelancong luar yang ramai berkunjung ke Kadamaian yang kaya dengan destinasi pelancongan alam semulajadi yang tumbuh seperti cendawan di sepanjang Sungai Kadamaian Sungai Wariu dan Sungai Panataran” katanya.

Roslan berkata, pewujudan tamu mingguan itu juga secara tidak langsung menghidupkan kawasan luar bandar seperti Mukim Lasau yang terletak jauh dari pekan Kota Belud.

Beliau turut mengalu-alukan cadangan pembinaan jalanraya menghubungkan Kampung Lasau Podi Kota Belud dan Kampung Banbangan Kota Marudu bagi merancakkan pembangunan ekonomi penduduk luar bandar di kedua-dua daerah ini.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Sabah sasar pasaran pelancongan Timur Tengah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular