HomeIsu tempatan'Udang Nenas Masak Lemak', teringat masakan arwah ibu - Mohamad Haikal

‘Udang Nenas Masak Lemak’, teringat masakan arwah ibu – Mohamad Haikal

Read Time:1 Minute, 55 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Remaja berusia 17 tahun, Mohamad Haikal Umar sebak bila melihat masakan kegemarannya antara 800 jenis hidangan berbuka puasa sempena bulan Ramadan yang disajikan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini.

“Saya sangat teruja apabila Sekolah Tahfiz kami dijemput untuk berbuka puasa di sini, ini kali pertama saya melihat makanan yang begitu banyak terhidang, tapi pada masa sama saya juga sedih bila melihat menu kegemaran saya yang selalu arwah ibu masak juga terdapat di sini iaitu udang nenas masak lemak.

“Sebelum ibu saya meninggal pada 2016 kerana sakit jantung, ibu saya pandai memasak, banyak jenis masakan dia pandai masak untuk hidangan kami sekeluarga terutamanya menjelang Hari Raya Aidilfitri, tapi kini semua itu hanya tinggal kenangan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Iftar anjuran SICC di sini malam tadi.

Mohamad Haikal anak kelima dari enam beradik itu berkata, sepanjang berada di Sekolah Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah Kota Kinabalu sejak 2021, banyak yang dipelajari khususnya dalam ilmu pendidikan agama, selain hafazan dia juga sudah qhatam Al Quran lebih sepuluh kali.

Menurutnya, ayahnya tidak bekerja selepas berhenti menjadi pemandu lori kerana masalah kesihatan, kini Mohamad Haikal serta adik beradiknya yang lain bergantung kasih dengan ibu saudara mereka yang juga merupakan kakak kepada ayahnya.

“Abang sulong saya juga membantu makcik menjual sayur-sayuran di pasar, kami bersyukur makcik banyak membantu kami dan menanggung segala perbelanjaan persekolahan kami,” katanya.

Mohamad Haikal bercadang ingin melanjutkan pelajaran ke Turki dalam bidang pendidikan agama dan apabila berjaya dia bercita-cita menjadi seorang guru agama.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SICC, Datuk Rosmawati Lasuki ketika ditemui berkata, pada tahun ini tambahan sebanyak 100 jenis makanan menjadikan 800 jenis hidangan istimewa disajikan untuk berbuka puasa sepanjang bulan Ramadan.

Rosmawati menyerahkan sumbangan tunai kepada pelajar-pelajar dari Sekolah Tahfiz.

“Istimewanya pada kali ini terdapat banyak jenis makanan tradisi luar negara termasuk dari negara Jepun, Indonesia, Arab, Thailand, China dan lain-lain juga ada disajikan di sini.

“Tidak dilupa, kami juga turut berkongsi rezeki bersama anak-anak yatim dan pelajar-pelajar dari sekolah-sekolah tahfiz di sekitar daerah Kota Kinabalu bagi menyemarakkan lagi bulan mulia ini,” katanya selepas menyempurnakan penyerahan infaq kepada pelajar-pelajar Sekolah Tahfiz semalam.

Hadir memeriahkan Majlis Iftar itu ialah 20 pelajar dari Madrasah Darul Hadis Darsa Sabah serta sepuluh orang pelajar dari Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah Kota Kinabalu.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Petugas Tabung Darah digesa tingkat kemahiran, pengetahuan demi keselamatan pesakit

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular