HomeUtamaKastam Sabah rampas 10.79kg syabu di Tawau

Kastam Sabah rampas 10.79kg syabu di Tawau

Read Time:1 Minute, 18 Second

TAWAU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Sabah berjaya merampas dadah disyaki syabu seberat 10.79 kilogram (kg) dalam satu serbuan di sebuah premis penghantaran barang di Jalan Bakau, di sini, baru-baru ini.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Mohd Nasir Deraman berkata, serbuan dijalankan Pasukan Operasi Penguatkuasaan JKDM Tawau ke premis berkenaan pada 9 Mac lalu kira-kira jam 12 tengah hari itu sebaik menerima maklumat mengenai aktiviti pengedaran dadah menggunakan perkhidmatan penghantaran barang di daerah ini.

Beliau berkata, hasil serbuan ke atas premis berkenaan menemukan satu kotak berwarna coklat dengan perihal barang yang ditulis sebagai peralatan memancing.

“Hasil pemeriksaan ke atas kotak berkenaan pula menemukan sejumlah 10 bungkusan plastik bertulis ‘168 Freeso-Dried Durian’ mengandungi hablur jernih disyaki dadah jenis methamphetamine.

“Pemeriksaan lanjut mendapati semua dadah berkenaan adalah seberat 10.79 kg dan dianggarkan bernilai RM356,070.00,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mohd Nasir berkata, modus operandi sindiket ini adalah membawa dadah berkenaan menggunakan perkhidmatan penghantaran barang melalui jalan darat daripada Kota Kinabalu ke Tawau.

“Sindiket juga hanya meletakkan alamat penerima sahaja untuk tujuan ‘self collect’ bagi mengelak dikesan oleh pihak berkuasa.

“Berikutan serbuan itu, selain rampasan dadah, pengurus syarikat penghantaran barang terbabit turut ditahan untuk membantu siasatan kes.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Mohd Nasir berkata, berdasarkan jumlah berat dadah yang dirampas itu berjaya membanteras daripada diedarkan kepada lebih 50,000 orang penagih.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa orang ramai supaya membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan melibatkan rokok, minuman keras, dadah dan lain-lain.

RELATED ARTICLES
Utama

MUIS, JHEAINS digesa bincang, kajian bina kuarters

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular