HomePolitikSuhaimi kurang bijak terjemah isu babitkan pentadbiran negeri Sabah - Zulkarnain

Suhaimi kurang bijak terjemah isu babitkan pentadbiran negeri Sabah – Zulkarnain

Read Time:2 Minute, 0 Second

KOTA KINABALU: Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) amat kecewa dengan kenyataan Datuk Suhaimi Nasir yang mempersoalkan kejayaan program Hala Tuju Sabah Maju Jaya di Sabah.

Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar dalam kenyataan media hari ini berkata, Suhaimi kelihatan semakin kurang bijak dalam menterjemah isu membabitkan pentadbiran negeri Sabah.

Beliau berkata demikian susulan kenyataan Suhaimi yang juga Ketua Penerangan UMNO Sabah dalam satu kenyataan media semalam, meminta Kerajaan Sabah menjelaskan kepada rakyat berhubung Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya yang dilancarkan pada 2021, yang disifatkan sebagai gagal berikutan isu kemudahan asas dan kemiskinan masih berlarutan.

Zulkarnain berkata, salah satu pengisian program Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) sebenarnya telah berjaya menunjukkan hasil yang cukup positif apabila Kerajaan Negeri Sabah telah berjaya menarik begitu banyak pelabur luar datang melabur ke Sabah.

“Sebagai contoh apabila Kerajaan Negeri Sabah berjaya membawa masuk Syarikat SK Nexilis Co Ltd (SK Nexilis), salah satu pengeluar kerajang tembaga terbesar di dunia yang telah membina kilang operasi pengeluaran kerajang tembaga di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), Sabah bernilai RM2.3 billion.

“Kilang yang telah memulakan operasinya sebenarnya telah membuka peluang pekerjaan untuk anak-anak Sabah.

“Selain itu kilang pembuatan kaca fotovolta suria (PV) yang dikendalikan oleh SBH Kibing Solar New Materials (M) Sdn Bhd bernlai RM3 billion yang sedang dibina di KKIP juga bakal mewujudkan 1,400 pekerjaan baharu, dengan komitmen sekurang-kurangnya 90 peratus jawatan untuk diisi oleh rakyat Sabah,” jelasnya.

Zulkarnain menyifatkan Suhaimi seumpama meludah ke langit terkena muka sendiri apabila mempersoalkan keadaan jalan di Sabah termasuk elektrik dan air dalam masa yang sama Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah sebelum ini dipegang oleh Pengerusi UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin.

“Harus diingat individu yang diberikan tanggungjawab oleh Hajiji untuk menyelesaikan masalah jalan, air dan elektrik di Sabah adalah Bung sebelum dilucutkan jawatan menteri pada bulan Jan 2023.

“Bung sepatutnya tidak berdiam diri membabitkan isu ini kerana punca kegagalan masalah jalan, air dan elektrik ada mengena dengan kementerian yang diterajui oleh Bung selama hampir dua tahun,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata, Suhaimi juga sepatutnya bersikap adil dan turut bertanya kepada Shafie Apdal sepanjang mentadbir Sabah selama 26 bulan kenapa kadar Keluaran dalam negara kasar (KDNK) Negeri Sabah jatuh menjunam kepada 0.5 peratus.

“Antaranya kadar pengangguran meningkat, rizab kewangan negeri berkurangan, kegagalan membawa masuk pelabur luar ke Sabah dan pelabur luar gagal membeli kilang Sabah Forest Industries (SFI) sehingga menyebabkan ratusan pekerja telah hilang pekerjaan,” tambah beliau lagi.

RELATED ARTICLES
Utama

DUN Sabah : SDB agresif dalam usaha struktur, pulihkan hutang lapuk

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya