HomeUtamaBeaufort catat gelombang haba

Beaufort catat gelombang haba

Read Time:1 Minute, 21 Second

Kota Kinabalu : Beaufort menjadi antara kawasan yang terbaharu di negeri ini merekodkan gelombang haba atau suhu panas tahap dua iaitu suhu maksimum harian 37 hingga 40 darjah Celcius.

Suhu yang direkodkan bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut setakat jam 4.40 petang semalam itu turut direkodkan di Perlis dan Hulu Perak di Perak.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan semalam memaklumkan sebanyak 29 kawasan di Semenanjung, tiga di Sarawak dan satu di Sabah merekodkan suhu panas tahap satu atau berjaga-jaga.

Bagi Semenanjung, ia melibatkan 10 kawasan di Kedah (Kota Setar, Kubang Pasu, Pendang, Kuala Muda, Pulau Langkawi, Sik, Baling, Kulim, Pokok Sena dan Padang Terap) serta empat di Perak (Kinta, Kuala Kangsar, Batang Padang dan Kampar).

Suhu panas tahap satu turut direkodkan masing-masing empat di Pahang (Bera, Maran, Temerloh dan Raub), Johor (Tangkak, Muar, Batu Pahat dan Segamat) dan Kelantan (Gua Musang, Kuala Krai, Jeli dan Pasir Mas) manakala dua di Melaka (Alor Gajah dan Jasin) serta satu di Negeri Sembilan (Jempol).

Mukah, Telang Usan dan Limbang di Sarawak serta Kota Belud di Sabah turut berdepan situasi sama.

Suhu panas tahap satu atau berjaga-jaga merujuk kepada suhu maksimum harian 35 hingga 37 darjah Celsius bagi tempoh sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.

MetMalaysia sebelum ini memaklumkan Malaysia berada dalam fasa akhir monsun timur laut yang secara lazim menyaksikan kawasan utara Semenanjung mengalami litupan awan dan taburan hujan yang kurang selain menyebabkan cuaca lebih panas serta kering berbanding kebiasaan.

Selain itu, berikutan fenomena El Nino kuat yang kini melanda dunia, MetMalaysia menjangkakan suhu maksimum harian di negara ini boleh menjadi lebih tinggi di kebanyakan tempat. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Anwar tegaskan tidak kepada kasino kedua di Malaysia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular