HomeIsu tempatan500 pelajar luar bandar terima manfaat Program Jelajah Pendidikan

500 pelajar luar bandar terima manfaat Program Jelajah Pendidikan

Read Time:1 Minute, 36 Second

KOTA BELUD: Seramai 500 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Narinang di sini menerima manfaat daripada pelaksanaan Program Jelajah Pendidikan bagi mendapatkan maklumat dan panduan dalam merancang kerjaya selepas tamat persekolahan.

Ketua Daerah Kota Belud, Roslan Duraman berkata program tersebut turut meliputi temuduga secara terbuka yang bertujuan untuk menggalakkan pelajar luar bandar melanjutkan pendidikan ke menara gading.

“Matlamat program ini adalah bagi mendedahkan kepada pelajar terutama
lepasan tingkatan lima dan enam, peluang melanjutkan pelajaran ke Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang diiktiraf oleh kerajaan serta melahirkan modal insan
berpendidikan tinggi dan jaminan pekerjaan selepas tamat pengajian.

“Saya percaya ini sangat penting bukan sahaja kepada pelajar tetapi juga kepada ibubapa, program seperti ini untuk memudahkan rakyat di kawasan Kadamaian.

“Malah, program ini turut membantu dan membimbing golongan lepasan SPM yang tidak mempunyai kredit yang cukup untuk
memohon program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Jelajah Pendidikan : Satu Rumah Satu Graduan di SMK Narinang, Kota Belud.

Roslan yang juga Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat)
Bahagian Kadamaian turut mengucapkan tahniah kepada dua pelajar lepasan Sijil SPM 2022 dari sekolah ini yang diberi tawaran melanjutkan pelajaran peringkat Diploma di Cosmopoint College dan universiti UNIRAZAK.

“Ini satu permulaan yang baik untuk sekolah ini merintis peluang-peluang melanjutkan pelajaran pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Pengetua SMK Narinang, Soo Yong Huat menyifatkan program tersebut cukup bermakna khususnya pelajar luar bandar yang dapat bersemuka dengan pihak Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan IPTS.

Katanya, pelajar tingkatan lima yang diberi
peluang menyertai program ini turut mendapat pengetahuan berguna untuk
mereka merancang arah melanjutkan perajaran selepas menduduki peperiksaan SPM.

“Justeru, pelaksanaan Program Jelajah Pendidikan telah memberikan semangat
baharu kepada pelajar golongan kurang berkemampuan (B40) dalam meneruskan perjuangan untuk melanjutkan pelajaran menimba ilmu sekali gus mengubah nasib mereka,” tambah beliau.

Antara IPTS yang hadir ke SMK Narinang sempena program itu ialah Metropolitan Universiti College (KLMUC) dan Cosmopoint College.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Petugas Tabung Darah digesa tingkat kemahiran, pengetahuan demi keselamatan pesakit

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular