HomeIsu tempatan186 kanak-kanak, 40 pemimpin masyarakat Tempasuk terima sumbangan

186 kanak-kanak, 40 pemimpin masyarakat Tempasuk terima sumbangan

Read Time:1 Minute, 53 Second

KOTA BELUD: Seramai 186 kanak-kanak yatim, asnaf dan pelajar tahfiz sekitar Tempasuk menerima sumbangan wang tunai ketika Majlis Iftar Kasih Ramadan, anjuran Persatuan Kebajikan Amal Kasih Kota Belud (Perkasih) baru-baru ini.

Pengerusi Perkasih, Datin Nursyahirah Abdullah berkata, seramai 40 ketua-ketua kampung dan pemimpin masyarakat juga menerima sumbangan menunaikan umrah daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tempasuk, Datuk Mohd Arsad Bistari ketika majlis tersebut.

“Majlis Iftar Kasih Ramadan ini adalah acara kemuncak program Jelajah Kasih Ramadan yang telah berjalan sejak awal Ramadan lalu dan seterusnya menyampaikan sumbangan tunai kepada penerima-penerima sasaran sambil meraikan anak-anak yatim dan golongan asnaf
dengan berbuka bersama mereka.

“Persatuan akan terus komited dan berbakti dalam menyampaikan sumbangan kepada golongan yang memerlukan demi memberi manafaat kepada masyarakat.

“Terima kasih dan penghargaan kepada ahli-ahli persatuan yang bersama-sama menjayakan
majlis ini, dan juga kesungguhan semua dalam menerbitkan tiga buah buku masakan tradisional Tempasuk untuk mengumpul dana aktiviti kebajikan melalui jualan buku,” kata Nursyahirah.

Menurutnya, majlis tersebut merupakan program tahunan yang dianjurkan oleh Perkasih
dengan kerjasama Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah dan Pusat Khidmat Rakyat
Tempasuk.

Dalam program ini, Perkasih mengadakan aktiviti berbuka puasa, bersahur sambil
mengagihkan sumbangan bakul makanan ke beberapa masjid di kampung-kampung sasaran sejak awal bermulanya Ramadan.

“Sebanyak RM5,000 sumbangan daripada Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah kepada Perkasih untuk disalurkan kepada anak-anak yatim dan asnaf Tempasuk, manakala Arsad memberikan sumbangan RM50,000 kepada 40 ketua-ketua kampung dan pemimpin masyarakat yang akan berangkat menunaikan umrah pada April.

“Sebanyak RM10,000 daripada tabung Perkasih telah digunakan pada majlis ini,” tambah Nursyahirah.

Kanak-kanak yatim, asnaf dan pelajar tafiz yang menerima sumbangan tersebut adalah dari Rumah Anak Yatim Darul Bakti, Pusat Pendidikan Tahfiz Muhammad Al-Fateh, SMK Taun Gusi, SMK Taun Gusi 2 dan beberapa kampung sekitar Tempasuk.

Turut hadir ketika majlis tersebut Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah, Ismail Mohd Adnan; Timb Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi), Mohd Arif Hairal; Penolong Pegawai Daerah Kota Belud, Abdul Wahab Sidek dan Pemimpin Pembangunan
Masyarakat Sigam Angor.

Arsad, ketika merasmikan majlis mengucapkan tahniah kepada Perkasih atas kejayaan melakukan pelbagai aktiviti sepanjang empat tahun lepas yang memberikan manfaat kepada ramai masyarakat Tampasuk.

Arsad juga menghargai usaha persatuan itu dalam menerbitkan buku resipi tradisional yang bukan sahaja memelihara warisan nenek moyang malah menjadi sumber rujukan kepada generasi akan datang.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Tiga kompaun dikeluarkan ke atas premis hiburan langgar peraturan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular