HomeUtamaNaik taraf daerah kecil Paitan bukti keprihatinan Kerajaan

Naik taraf daerah kecil Paitan bukti keprihatinan Kerajaan

Read Time:1 Minute, 15 Second

Paitan: Cadangan menaik taraf daerah kecil Paitan ke status daerah penuh yang diluluskan Kerajaan negeri telah membuktikan kesungguhan kerajaan dalam membantu rakyat.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib berkata usaha itu dapat meyakinkan rakyat terhadap kesungguhan kerajaan dalam membangunkan Paitan selain membantu rakyat menikmati pembangunan.

“Persiapan kita memang sudah lama, setiap tahun cadangan tersebut saya kemukakan, Penolong Pegawai Daerah dan pegawai-pegawai disini juga telah bersedia dengan urusan-urusan yang diperlukan untuk mendapatkan status daerah penuh dengan secepatnya.

“Selain itu, peruntukan RM2 juta untuk membina dewan serbaguna yang diumumkan sendiri oleh Ketua Menteri disini akan memudahkan rakyat melaksanakan pelbagai program dan aktiviti kelak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Berbuka Puasa anjuran bersama Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat dan Pejabat Daerah Kecil Paitan di Dewan Terbuka Paitan di sini.

Pada majlis tersebut, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor turut menyampaikan bantuan sumbangannya berjumlah RM40,000 kepada 200 golongan memerlukan.

Manakala Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) menyampaikan zakat dan fitrah sebanyak RM40,200 untuk diagihkan kepada 124 golongan asnaf.

James yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Ketua Menteri dan kerajaan negeri atas kehadiran menyantuni masyarakat Paitan.

Hadir sama, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Arifin Mohd Arif, Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar Sabah, Datuk Masiung Banah, Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar dan Ketua Eksekutif Takaful Ikhlas General Berhad, Datuk Rudy Rodzila Che Lamin.

RELATED ARTICLES
Utama

Malaysia rakam takziah, simpati pada Iran

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular