HomeUtamaPastikan pengendali bas penumpang ada dua pemandu untuk keselamatan - David

Pastikan pengendali bas penumpang ada dua pemandu untuk keselamatan – David

Read Time:2 Minute, 3 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Semua pengendali pengangkutan awam khususnya perkhidmatan bas penumpang yang melalui perjalanan jarak jauh disarankan mesti mempunyai dua pemandu untuk memastikan keselamatan dan melancarkan perjalanan menuju ke destinasi.

Justeru, Presiden Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah David Chan menggesa kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sabah supaya menjalankan penguatkuasaan lebih tegas terhadap perkara tersebut.

“Bersempena dengan sambutan perayaan Hari Raya Aidilfitri, saya menggesa Jabatan Pengangkutan Jalan supaya menjalankan penguatkuasaan lebih tegas seperti membuat pemeriksaan terhadap pengendali kenderaan awam khususnya setiap perkhidmatan bas penumpang diwajibkan mempunyai dua pemandu terutama bagi perjalanan jarak jauh dan tanpa henti.

“Ini kerana sekiranya seorang pemandu sudah penat dan letih, sekurang-kurangnya ada seorang pemandu boleh bertukar memandu bas tersebut untuk meneruskan perjalanan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, semalam.

Selain itu, David berkata, penguat kuasa JPJ juga digesa agar menjalankan pemeriksaan di setiap stesen bas untuk memastikan pengendali perkhidmatan bas telah melakukan penyelenggaraan ke atas bas-bas mereka.

“Saya juga menyeru kepada penguat kuasa JPJ supaya membuat pemeriksaan di stesen-stesen bas memastikan sama ada pengendali bas tersebut telah melakukan penyelenggaraan dan memastikan adakah bas-bas penumpang mereka berada dalam keadaan yang baik.

“Kita tidak mahu ada kejadian yang tidak diingini berlaku pada masa perayaan nanti kerana bas-bas ini membawa banyak nyawa di dalamnya.

“Justeru, saya sekali lagi merayu kepada JPJ supaya menghantar anggota penguat kuasa ke stesen bas untuk menjalankan pemeriksaan itu,” tegasnya.

Dalam pada itu, David turut mengalu-alukan dan mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor atas pengumuman memberikan subsidi tiket penerbangan kepada pelajar Sabah yang menjalani pengajian di Semenanjung, Sarawak dan Labuan baru-baru ini.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Sabah kerana memberikan subsidi tiket penerbangan kepada pelajar Sabah.

“Ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung keluarga mereka.
Jadi ramai pelajar Sabah yang sedang menjalani pengajian di Semenanjung sangat gembira mendengar berita ini kerana dapat pulang berhari raya bersama keluarga di Sabah nanti.

“Namun demikian, kita juga berharap Kerajaan Persekutuan akan terus mempertimbangkan untuk memberi tiket penerbangan yang murah khususnya kepada pelajar semasa musim perayaan.

“Kita tidak mahu tiket ini diperdagangkan seperti trend pasaran saham yang turun naik, ini sangat tidak bagus.

“Banyak insiden yang berlaku, apabila pelajar-pelajar ini tiba di lapangan terbang untuk membeli tiket dan mereka mendapati tiket penerbangan itu sangat mahal jadi mereka sangat kecewa.

“Kita berharap Kerajaan Persekutuan dapat menetapkan satu harga yang berpatutan kepada pengguna khususnya kepada pelajar-pelajar Sabah,” ujarnya.

RELATED ARTICLES
Utama

Kerajaan negeri hargai peranan media di Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya