HomeEkonomiSabah Kaya! Siapa Kata Sabah Miskin ?

Sabah Kaya! Siapa Kata Sabah Miskin ?

Read Time:5 Minute, 30 Second

Oleh Wan Azrain Adnan

1. Baru-baru ini, terdapat percanggahan mengenai kadar kemiskinan di Sabah. Ianya bermula dengan kenyataan Menteri Ekonomi Malaysia semasa Persidangan Dewan Rakyat, di mana beliau di laporkan berkata bahawa insiden kemiskinan tegar di Sabah adalah enam kali ganda lebih tinggi berbanding dengan kadar nasional. Menurut beliau, kadar kemiskinan tegar di Sabah ialah 1.2%, manakala kadar nasional ialah 0.2%.

2. Walau bagaimanapun, Ketua Menteri Sabah di laporkan telah mempertikai data kemiskinan tegar yang di kemukakan oleh Menteri Ekonomi Malaysia di Parlimen. Menurut beliau, data berkenaan berbeza dengan data yang di perolehi oleh Kerajaan Sabah.

3. Secara am-nya, insiden kemiskinan terbahagi kepada dua kategori:

  • Miskin Mutlak/ Absolute Poverty: merujuk kepada pendapatan isi rumah di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK)
  • Miskin Tegar/ Hardcore Poverty: merujuk kepada pendapatan isi rumah di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Makanan

4. Setiap negeri mempunyai Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang berbeza, bergantung kepada harga barangan di negeri tersebut. Di Sabah, Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Makanan ialah RM 1,218 sebulan, lebih tinggi dari kadar nasional (RM 1,198). Manakala, PGK Makanan untuk luar bandar Sabah ialah RM 1,275 sebulan. Ini bermakna kos sara hidup di Sabah adalah tinggi, dan memerlukan pendapatan yang tinggi untuk hidup selesa serta bermaruah.

Sumber: Laporan Kemiskinan Di Malaysia 2022 (Jabatan Perangkaan Malaysia)

5. Menurut Laporan Kemiskinan Di Malaysia 2022 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia/ Department of Statistics (DOSM), Sabah telah merekodkan insiden kemiskinan mutlak dan kemiskinan tegar tertinggi di Malaysia untuk tahun 2021 dan 2022:

  • kemiskinan mutlak: 19.7% (2022)
  • kemiskinan tegar: 1.2% (2022)

6. Data tersebut jelas menunjukkan ramai orang di Sabah hidup di bawah paras kemiskinan. Ini adalah sesuatu yang ironik dan mengelirukan, memandangkan Sabah adalah sebuah wilayah yang kaya dengan sumber bumi seperti minyak dan gas, serta kelapa sawit.

7. Sebagai contoh. Menurut data (MPOB), pada tahun 2022, Sabah merupakan pengeluar Minyak Sawit Mentah/ Crude Palm Oil (CPO) terbesar di Malaysia, iaitu 23% daripada jumlah pengeluaran minyak sawit mentah Malaysia.

8. Maka, persoalannya: Kenapa ramai orang miskin di Sabah? Sabah: Siapa Miskin?

9. Menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) 2022, jumlah penduduk Sabah ialah 3.39 juta orang, meliputi:

  • warganegara (2.654 juta orang: 78%)
  • bukan warganegara (0.736 juta orang: 22%)

Ini bermakna untuk setiap 10 penduduk Sabah, 2 orang adalah bukan warganegara. Ini merupakan peratusan bukan warganegara yang begitu tinggi.

Sumber: Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah Sabah 2022 (Jabatan Perangkaan Malaysia)

10.      Sebagai perbandingan, jumlah penduduk Malaysia ialah seramai 33.7 juta orang, di mana: warganegara (30.5 juta orang: 90.5%) dan bukan warganegara (3.2 juta orang: 9.5%).

11.      Sejak sekian lama, Sabah di banjiri oleh penduduk bukan warganegara, yang rata-rata tidak memiliki dokumen yang sah/ undocumented. Pada Oktober 2022, Menteri Dalam Negeri Malaysia di laporkan berkata terdapat lebih satu juta penduduk tanpa dokumen/ undocumented di Sabah.

12.      Kebanjiran penduduk tanpa dokumen ini telah menimbulkan pelbagai isu kepada Sabah, termasuklah – keselamatan, ketenteraman awam, politik, sosial dan ekonomi. Malah isu ini telah berlanjutan dari generasi ke generasi, menyebabkan ianya sukar untuk di selesaikan secara menyeluruh.

13.      Penduduk tanpa dokumen sudah pasti akan menghadapi kesukaran untuk menjalani kehidupan secara ‘normal’. Mereka tidak mempunyai akses kepada peluang pendidikan dan pekerjaan. Tanpa dokumen yang sah, majikan amatlah keberatan untuk menawarkan mereka pekerjaan, kerana tidak mahu melanggar undang-undang. Justeru itu, ramai tidak memiliki pekerjaan tetap yang memberikan pendapatan yang mencukupi. Akibatnya, kehidupan mereka di belenggu kemiskinan.

Lebih malang, tanpa pendidikan, anak-anak mereka akan terus berada di dalam kitaran kemiskinan/ poverty cycle dari satu generasi ke satu generasi.

14.      Tidak di nafikan ramai juga penduduk warganegara yang miskin. Namun begitu, jumlah penduduk tanpa dokumen yang begitu ramai di Sabah sebenarnya telah menyebabkan kadar kemiskinan di Sabah melambung tinggi. Inilah hakikatnya!

15.      Sebagai contoh. Menteri Ekonomi Malaysia turut di laporkan berkata bahawa Laporan Survei Pendapatan dan Perbelanjaan Isi Rumah 2022 menunjukkan lapan daerah di Sabah telah merekodkan kadar kemiskinan tegar yang tinggi: Tongod (5.9%), Beluran (5%), Pitas (4.8%), Kinabatangan (4.6%), Kota Marudu (4%), Tuaran (2.6%), serta Ranau (2.4%) dan Lahad Datu (2.4%).

16.      Jika di teliti, banyak daerah berkenaan memiliki jumlah peratusan bukan warganegara yang amat tinggi: Tongod (35%), Beluran (47%), Lahad Datu (33%).

Malah, majoriti (78%) penduduk di Kinabatangan adalah bukan warganegara.

Maka, tidaklah mengejutkan daerah-daerah berkenaan merekodkan kadar kemiskinan tegar yang tinggi.

17. Di samping itu, tanpa pendapatan yang tetap, penduduk tanpa dokumen di Sabah tidak memiliki kuasa perbelanjaan yang tinggi. Data DOSM menunjukkan perbelanjaan isi rumah bulanan penengah oleh bukan warganegara adalah RM 1,867 sebulan, iaitu 60% dari warganegara (RM 3,111).

Malah, secara keseluruhan, bukan warganegara telah menyebabkan perbelanjaan isi rumah bulanan penengah dan purata Sabah menjadi rendah.

Sumber: Laporan Sosioekonomi Sabah 2022 (Jabatan Perangkaan Malaysia)

18. Agenda Sabah Maju Jaya (SMJ) telah meletakkan Sabah di atas landasan Serta trajektori ke arah wilayah maju dan berpendapatan tinggi. Ini terserlah dengan data ekonomi yang memberangsangkan, antaranya: rizab kewangan besar berjumlah hampir RM 7 billion, pembentangan belanjawan tahunan lebihan/ surplus yang terbesar sejak merdeka, peningkatan jumlah pelaburan yang menyediakan ribuan peluang pekerjaan, nilai perdagangan luar negeri yang tertinggi dalam sejarah.

19. Oleh yang demikian, Sabah mampu menjadi enjin pertumbuhan/ growth engine yang baru untuk negara dan serantau. Di samping itu, Sabah di jangka akan menikmati limpahan dari pembangunan ibu negara Indonesia yang baru di Nusantara, Kalimantan. Malah, sebuah syarikat Brunei telah mencadangkan rangkaian keretapi berkelajuan tinggi Trans Borneo sepanjang lebih 1,600 km, yang menghubungkan Sabah, Sarawak, Brunei dan Indonesia (Kalimantan).

20.      Namun begitu, kejayaan pelaksanaan agenda Sabah Maju Jaya (SMJ) banyak bergantung kepada penyelesaian segera isu-isu legasi yang merantai Sabah. Ini merangkumi kemudahan infrastruktur awam yang tidak mencukupi dan menyeluruh, antaranya: bekalan air dan elektrik, jalan-raya, telekomunikasi.

21.      Sama penting ialah penyelesaian isu penduduk tanpa dokumen di Sabah. Jumlah yang begitu ramai memberi kesan negatif kepada kesejahteraan rakyat Sabah. Sebagai contoh. Menurut Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaysia Sabah (UMS), antara penyumbang utama masalah bekalan air di UMS ialah kewujudan koloni setinggan yang besar (anggaran 12,000 rumah) di Sepanggar, melibatkan kecurian air kira-kira 18 juta liter sehari.

22.      Tambahan lagi, pembangunan sosioekonomi yang di hasilkan oleh agenda Sabah Maju Jaya (SMJ) tidak di jangka dapat membantu meredakan kesulitan hidup penduduk tanpa dokumen. Maka, jumlah penduduk tanpa dokumen yang besar akan terus melonjakkan kadar kemiskinan di Sabah.

23.      Justeru itu, ini akan mencacatkan potensi serta kejayaan SMJ.

RELATED ARTICLES
Pendapat

Masalah generasi muda perlu pendekatan menyeluruh, merentasi seluruh agensi Kerajaan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya