MUIS giat lahirkan lebih ramai guru pendidikan agama Islam di Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 24 Second

Kota Kinabalu : Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) giat melahirkan lebih ramai guru pendidikan agama Islam di negeri ini yang dilihat masih belum mencukupi keperluan tenaga pengajar di sekolah-sekolah di Sabah.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, dasar 90 peratus guru tempatan dan 10 peratus guru luar mengajar di Sabah (90:10) yang ditetapkan sebelum ini juga masih belum mencapai sasaran.

“Oleh itu, kita telah mengadakan satu Memorandum Perjanjian (MoA) dengan Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi memenuhi tuntutan kepada kurangnya jumlah guru di Sabah khususnya dalam subjek pendidikan agama Islam.

“Sudah pasti, dengan kerjasama ini, kita akan dapat melahirkan graduan atau mereka yang mempunyai iktisas dalam bidang Pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Iftar MUIS dan Majlis Menandatangani MoA Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah di antara MUIS dan UMS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini semalam.

Hadir sama Yang Di-Pertua MUIS Datuk Seri Yahya Hussin dan Naib Canselor UMS Prof Datuk Dr Kasim Mansor.

Arifin yang juga Exco Pendidikan dan Agama berkata, kerjasama strategik itu adalah untuk mengadakan Program Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah di Fakulti Psikologi dan Pendidikan UMS.

Katanya, sebagai permulaan seramai 40 pelajar lepasan ijazah sarjana muda yang dipilih dan ditentukan oleh MUIS mengikut syarat dan kelayakan yang ditetapkan UMS.

“Setiap tahun, jumlahnya adalah 40 orang dan 20 daripadanya adalah guru-guru asnaf kita yang belum ada Diploima Pendidikan, maka mereka diberikan pengajian di UMS.  Pengajian ini akan diadakan selama setahun setengah.

“Calon-calon bagi mengikuti pengajian ini juga telah kita kenal pasti iaitu melibatkan guru zakat, guru MUIS dan guru daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS),” katanya. – SABAH MEDIA

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *