HomeUtamaKerajaan negeri hargai, iktiraf jasa bakti pasukan keselamatan

Kerajaan negeri hargai, iktiraf jasa bakti pasukan keselamatan

Read Time:3 Minute, 0 Second

Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri sentiasa menghargai dan memberikan pengiktirafan kepada pasukan dan agensi keselamatan yang sentiasa memberikan keterjaminan aspek keselamatan sosial, ekonomi dan kesejahteraan rakyat serta negara.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, jasa bakti pasukan keselamatan yang berkorban masa, jiwa dan raga dalam memastikan persempadanan negara terkawal dan selamat, disamping situasi dalam negara aman dan tenteram, sekaligus membolehkan rakyat hidup dalam keadaan lebih selamat, selesa serta rukun dan damai.

Katanya, dengan keamanan yang dinikmati, bukan sahaja rakyat  malah  kerajaan dapat beroperasi dengan lancar dalam usaha membangunkan negeri Sabah, terutama untuk menjayakan Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Keamanan yang kita nikmati pada masa ini membolehkan negara kita terus maju dan dapat meyakinkan pelabur serta pelancong asing untuk membuat pelaburan dan melancong ke negara kita, khususnya ke Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Kuih-Muih Hari Raya Aidilfitri kepada Anggota Keselamatan dan Petugas Kesihatan di Dewan Auditorium Menara Kinabalu di sini hari ini.

Hajiji berkata, petugas barisan hadapan negara, terutamanya pasukan Unit Badan Beruniform, Pasukan Keselamatan,Polis dan Tentera serta Petugas Kesihatan, sentiasa menjalankan tugas dan kewajipan dengan penuh tanggungjawab dan dedikasi yang tinggi.

“Dalam kita berhadapan dengan situasi cemas dan bahaya, seperti semasa pandemik dahulu, atau semasa berlaku banjir dan kebakaran, ada insan yang berkorban masa, tenaga, jiwa dan raga, semata-mata untuk memastikan keselamatan anggota masyarakat yang lainnya. 

“Justeru, golongan frontliner (petugas barisan hadapan) mempunyai tanggungjawab yang besar dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan anggota masyarakat setiap masa.

“Sementara pasukan keselamatan yang lain, iaitu anggota polis, bomba, tentera dan pasukan beruniform yang lain, masing-masing berperanan dan bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan, ketenteraman dan keamanan negara tetap terpelihara. Tugas dan tanggungjawab pasukan keselamatan sentiasa berhadapan dengan situasi bahaya, iaitu tugas yang menggadai nyawa dan jiwa raga,” katanya.

Sementara itu,  Hajiji berkata,  sepanjang tahun 2020 sehingga kini, beberapa kejadian bencana telah melanda negara seperti pandemik Covid-19 dan bencana banjir. 

Katanya, pada awal tahun 2024 sahaja, beberapa negeri di Malaysia, termasuk Sabah, khususnya di daerah Pitas, Paitan, Beluran dan Sandakan, telah dilanda banjir.

Menurutnya, dalam menghadapi musim kemarau yang berlarutan, kerajaan mengambil keputusan untuk melakukan kerja-kerja pembenihan awan bagi menghasilkan hujan yang melibatkan khidmat dan kepakaran pihak Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) .

“Kerja-kerja pembenihan awan ini telah dilaksanakan pada penghujung bulan Mac lalu, dan nampaknya pendekatan itu telah menghasilkan kesan yang positif. Inilah usaha dan ikhtiar kita dalam menghadapi bencana kemarau yang melanda,” katanya.

Hajiji berkata, sudah menjadi budaya dan amalan Kerajaan meraikan dan menghargai perjuangan dan pengorbanan pasukan keselamatan dan para petugas kesihatan yang sentiasa menjadi petugas di barisan hadapan pada setiap masa.

Justeru katanya, Majlis Penyerahan Kuih-Muih Hari Raya untuk pasukan keselamatan dan petugas kesihatan yang diadakan setiap tahun, penting dan sangat bermakna sebagai tanda ingatan terhadap pengorbanan besar anggota barisan hadapan, yang sedang bertugas di seluruh negeri termasuk diperbatasan demi menjaga keamanan dan ketenteraman kita sepanjang masa pada musim sambutan Hari Raya yang akan menjelang tiba.

Tambahnya, tahun ini sebanyak 15 pasukan keselamatan dan petugas kesihatan menerima sumbangan kuih-muih, termasuk dua penerima baharu  iaitu  Jabatan Imigresen Sabah dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah.

Beliau berkata, sebanyak 33 agensi kerajaan terdiri daripada pelbagai kementerian, jabatan dan agensi negeri serta Persekutuan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Badan Berkanun dan badan bukan kerajaan (NGO) terlibat dalam pembungkusan dan penyerahan kuih muih Hari Raya.

“Semoga usaha murni kita sempena bulan Ramadan ini akan memberikan dorongan dan semangat kepada pasukan keselamatan, petugas kesihatan serta agensi penguatkuasaan untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi demi memastikan keselamatan negara, terutama pada musim perayaan ini,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO JKM

RELATED ARTICLES
Utama

SPRM alu-alukan kerjasama laksanakan program pendidikan antirasuah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular