Kota Kinabalu : Sebanyak 13 kek telah dipersembahkan oleh hotel-hotel terkemuka di negeri ini kepada Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni sempena menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Dalam Majlis Penyampaian Kek Hari Raya Aidilfitri 2024 itu, pelbagai jenis kek ditampilkan dengan idea-idea persembahan menarik perhatian dan penuh kreatif di Dewan Seri Kinabalu, di sini semalam.
Pada majlis tersebut, Sutera Harbour Resort mencuri perhatian dengan replika Masjid Tun Juhar, Kampung Sukau Kinabatangan dengan enam jenis kek di kiri dan kanan replika seberat 80 kg iaitu kek Lapis Surabaya, Eggless Carrot Cake, Rich Chocolate Brownies, English Fruit cake, Chocolate Moist Cake dan Pineapple Coconut Mousse.
Di bahagian hadapan kek yang mengambil masa lima hari untuk disiapkan oleh Chef Pastri Eksekutif, Kris Budiarto, 46 dan Chef Pastri, Junaidi Jainuri, turut dihidangkan beraneka manisan praline, kurma, macaron, Baklava dan Tahini Halwa.
Sementara itu, Shangri-La’s Tanjung Aru dan Shangri-La’s Rasa Ria Resort tampil unik dengan persembahan 500 kek cawan berperisa coklat kurma dan Cheese Walnut Carrot Cake dengan berat keseluruhan sebanyak 100 kg.
Kek-kek cawan tersebut dipamerkan pada kabinet laci tiga tingkat bertemakan Ghazal Hari Raya Aidilfitri yang disiapkan dalam tempoh tujuh hari oleh lima anggota hotel berkenaan diketuai oleh Chef Pastri Eksekutif, Hanafiah Ahmad, 45 dibantu Dayangku Siti Nur Azreenah Ag Bolkiah, 28, Barron Bill Linus Saguman, 33 dan Shwan Christiandee, 21.
Berkonsepkan Bazaar Ramadan pula, Hyatt Regency Hotel mempersembahkan kek Chocolate Brownies with Cranberry and Macadamia Nuts seberat 100kg yang dihasilkan lima orang diketuai oleh Chef Awang Mohd Yuzrinizam, 37 dan Awang Sharil Fitri, 25 mengambil masa dua minggu untuk disiapkan.
Hotel Hilton tidak kurang hebatnya dengan Kek Pandan Kurma seberat 10 kg yang disediakan oleh Chef Pastri, Dannevien Casimir, 41 dan Raydelia Christin, 26 berkonsepkan bulan Ramadan dan berkampung merayakan Aidilfitri.
Dalam pada itu, kek Cappuccino Chiffon With Butter Cream seberat 35 kg persembahan Hotel Le-Meridien dengan replika rehal mengambil masa dua minggu direka Sous Chef Pastri, Shazulyssa Sharun, 32 bersama-sama seorang lagi sahabatnya.
Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pula tidak kurang hebat dengan English Fruit Cake berkonsepkan Ramadan seberat 52kg yang disiapkan dalam masa tiga minggu oleh tiga kakitangan diketuai Chef De Partie, Marshel David, 36, Martha Edward Santani, 33 dan Cath Wong siaw Chun, 36.
Berkonsepkan Arabic Teapot pula, Hotel Promenade diketuai Pastry Chef, Abdul Nazri Maning,45 juga mempersembahkan kek mentega vanilla seberat 60 kg dibuat dalam tiga hari oleh empat pekerja.
Tun Juhar dalam ucapannya menzahirkan terima kasih atas sumbangan kek beraneka rupa,rasa dan bau tersebut serta teruja dengan hasil kerja yang berbeza.
Beliau memberitahu semua kek tersebut akan disumbangkan kepada rumah-rumah anak yatim dan warga emas sekitar bandaraya ini.
Turut terlibat dalam persembahan kek ialah Hotel Horizon, Palace Hotel Kota Kinabalu, Nexus Resort Karambunai, The Klagan dan Majlis Datuk-Datuk Negeri Sabah (MDNS).