HomeUtamaLebih 40 peratus jumlah KIR miskin tegar di Sabah catat penurunan

Lebih 40 peratus jumlah KIR miskin tegar di Sabah catat penurunan

Read Time:2 Minute, 3 Second

Kota Kinabalu : Sabah kini giat melaksanakan pemutihan data Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar seiring komitmen Kerajaan bagi menoktahkan kemiskinan di negeri ini.

Ketua Wanita Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata, berdasarkan data terkini menunjukkan seramai 13,179 KIR merekodkan sehingga Mac lalu berbanding 22,510 pada tahun lalu.

Katanya, Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ) juga telah diberi tanggungjawab untuk mengurangkan kadar kemiskinan tegar dengan melaksanakan usaha dan pelbagai inisiatif ke arah itu.

“Justeru, berdasarkan data pemutihan yang sedang dilakukan Pejabat Pembangunan Negeri Sabah, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU,JPM), jumlah KIR miskin tegar adalah 13,179 setakat Mac 2024.

“Jumlah ini menurun berbanding seramai 22,510 KIR miskin tegar pada tahun 2023. Ketika ini pemutihan masih berjalan di seluruh negeri. Usaha kita tidak akan berhenti sehinggalah kita mampu menoktahkan miskin tegar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan Ketua Wanita Parti Warisan (Warisan) Norfaizah Chua yang mendakwa Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor gagal bertindak sewajarnya terhadap data sosio ekonomi dan kemiskinan yang dikeluarkan Kerajaan Persekutuan pada pertengahan tahun lalu.

Azizah berkata, isu kemiskinan adalah legasi yang diwarisi daripada pentadbiran terdahulu  dan ianya perlu diterima secara reality selain isu menoktahkah kemiskinan tidak dapat dilakukan dalam masa singkat.

Katanya, usaha membasmi kemiskinan sentiasa dan akan terus menjadi satu perjuangan yang diutamakan Kerajaan.

“Antara usaha yang diambil Sekretariat SMJ termasuklah menyediakan sebanyak 1,500 buah rumah setiap tahun sebagai inisiatif membantu rakyat yang kurang berkemampuan, pemberian bantuan modal perniagaan kepada yang memerlukan dan menyediakan peluang pekerjaan kepada anak-anak tempatan.

“Oleh itu saya berharap Ketua Wanita Warisan, Norfaizah Chua agar tidak hanya pandai bercakap dan cuba mengelirukan rakyat sahaja. Cuba lihat apa yang Warisan buat ketika memerintah sejak 2018 hingga 2020. Apa tindakan untuk tangani kemiskinan,” katanya.

Dalam pada itu, Azizah berkata, statistik daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jelas menunjukkan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah adalah menurun ketika pemerintahan Warisan.

Katanya, kadar itu adalah daripada 1.5 peratus pada 2018 kepada -9.1 peratus pada 2020.

“Bagaimanapun KDNK meningkat daripada 1.5 peratus pada 2021 kepada 3.7 peratus pada 2022 di bawah kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Justeru, ini jelas menunjukkan bahawa kadar pembangunan yang meningkat sejak GRS ambil alih kerajaan.

“Malah, kerajaan bukan saja berusaha menagani isu kemiskinan tetapi telah berusaha merancakkan pembangunan terutama dalam membawa lebih banyak pelabur datang ke negeri ini, selain meneroka sumber baharu iaitu menerusi Ekonomi Biru,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Pesta Kaamatan boleh dikenali diperingkat Kebangsaan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular