HomeUtamaKerajaan Negeri prihatin, serius bantu masyarakat

Kerajaan Negeri prihatin, serius bantu masyarakat

Read Time:1 Minute, 42 Second

Tuaran: Kerajaan Negeri amat prihatin dan serius dalam membantu masyarakat negeri ini tanpa mengira kaum, bangsa dan agama.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, sebagai negeri dan negara yang mempunyai berbilang bangsa dan agama, amat penting rakyat terus meningkatkan keharmonian dan perpaduan.

“Jangan biarkan anasir-anasir negatif menganggu gugat perpaduan dan keamanan yang kita warisi daripada nenek moyang kita.

“Jadikanlah kepelbagaian ini untuk memperkukuhkan lagi hubungan sesama rakyat di negeri ini”, katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Malaysia Union Mission (MAUM) Pathfinder Camporee di Kem Istirehat Advent Dantai (KIAD) Lok Nunuk, di sini semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir.

Perkhemahan Pathfinder selama lima hari yang julung kali diadakan itu disertai oleh seramai 2,300 peserta dari negara Filipina, Thailand, Bangladesh, Singapura, India, Semenanjung Malaysian dan Sarawak, dengan objektif untuk memupuk pertumbuhan spiritual, intelektual, dan sosial dalam kalangan orang muda.

Hajiji berkata, Kelab Pathfinder merupakan program rekreasi rohani yang direka khas untuk remaja dan belia berusia 10 hingga 15 tahun dalam kalangan penganut Seventh-Day Adventist, untuk memberdayakan orang muda, melatih mereka untuk kepimpinan dan perkhidmatan kepada masyarakat serta untuk pembangunan holistik minda dan rohani mereka.

Katanya, dalam dunia yang semakin mencabar ini, kepimpinan yang efektif merupakan asas kejayaan dalam menghadapi cabaran kompleks.

Menurutnya, kepimpinan bukanlah hanya tentang gelaran atau kekuasaan, tetapi lebih kepada tanggungjawab untuk berkhidmat dengan teladan yang membawa inspirasi kepada yang lain.

“Melalui latihan dan pengalaman dalam aktiviti Pathfinder, anak-anak kita dibentuk untuk menjadi pemimpin yang mampu mengemudi perubahan, menyelesaikan masalah dengan kreativiti, dan menyumbang ke arah masyarakat yang lebih baik,” katanya.

Beliau berharap, anak-anak muda sentiasa bersemangat untuk mencapai potensi sebenar, berusaha menjadi individu yang gigih, positif, dan proaktif dalam meraih impian mereka.

Hajiji percaya komitmen dan semangat belia yang menyertai Perkhemahan Pathfinder itu dapat mengeratkan persaudaraan, memupuk nilai-nilai mulia, dan menjauhi gejala negatif sekali gus menjadikan mereka sebagai aset berharga kepada negara.

“Mari kita terus mengukuhkan semangat kepimpinan, memperkukuh keupayaan diri, dan berusaha bersama sebagai satu komuniti yang teguh dan berdaya saing,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Bakal jemaah haji Sabah perlu siapkan diri dari aspek mental, kekuatan...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya