HomeUtamaKPDN pastikan bekalan gula stabil sepanjang Ramadan dan menjelang Syawal di Sabah

KPDN pastikan bekalan gula stabil sepanjang Ramadan dan menjelang Syawal di Sabah

Read Time:2 Minute, 26 Second

KOTA KINABALU: Tinjauan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) hari ini ke Gudang Sazarice Sdn Bhd di Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP) II adalah untuk melihat pengurusan stok bekalan gula putih bertapis.

Ini adalah susulan daripada langkah-langkah awal yang telah diambil oleh KPDN dan dua pengilang gula untuk memastikan bekalan adalah mencukupi untuk kegunaan domestik dan industri sepanjang bulan Ramadan dan bulan Syawal di seluruh negara.

Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, hanya terdapat dua pengilang gula tempatan iaitu Syarikat Malaysia Holding Berhad (MSM) dan Central Sugar Refinery (CSR).

Justeru, katanya, mengambil kira pemprosesan gula putih bertapis hanya dibuat di kilang-kilang di Semenanjung Malaysia, maka menjadi satu keperluan untuk melaksanakan strategi tambahan untuk memastikan kestabilan bekalan bagi negeri Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan kerana melibatkan faktor penghantaran melalui pengangkutan laut.

Menurut Armizan, melalui strategi tambahan tersebut, bekalan gula di pasaran Sabah telah ditingkatkan bagi bulan Mac 2024 bersempena bulan Ramadan dan persiapan menjelang bulan Syawal iaitu sebanyak 6,980.32 metrik tan (MT) berbanding dua bulan sebelumnya iaitu 5,156.34MT bagi bulan Februari dan 4,781.52MT bagi bulan Januari.

“Bagi bulan April 2024, sasaran adalah untuk memastikan penghantaran sebanyak 6,119.80MT, tidak termasuk penghantaran ke Wilayah Persekutuaan Labuan iaitu sebanyak 190MT,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau lagi, penghantaran pertama melalui pengangkutan laut telah berlepas pada 3 April lalu.

“Dalam memastikan kestabilan bekalan gula di negeri ini, KPDN mengambil langkah proaktif dengan memantau rangkaian agihan pengeluaran bekalan di semua peringkat agar stok sentiasa mencukupi di pasaran untuk memenuhi permintaan pengguna.

“Ini meliputi tindakan mewujudkan jaringan kerjasama langsung bersama pihak pengilang, pemborong dan sehingga ke peringkat peruncit,” katanya.

Tambah beliau, pihak KPDN Negeri Sabah turut menjalinkan kolaborasi bersama pihak
pelabuhan bagi membantu dan mempercepat kebenaran kapal-kapal untuk memunggah barang-barang kawalan termasuk gula khususnya melibatkan permohonan daripada mana-mana pemborong barang kawalan di Sabah.

Dalam pada itu, katanya, KPDN juga telah melaksanakan kerjasama dengan sebanyak 25 pemborong utama gula bagi MSM dan 13 pemborong gula bagi CSR yang berperanan mengedarkan gula putih bertapis kepada para peruncit berlesen di seluruh Negeri Sabah.

“Selain itu, sebanyak 161 Dedicated Retailer (DDR) dan 89 Dedicated Wholesaler (DDW) telah dilantik dan dipantau setiap hari sebagai penanda aras sebarang kekurangan bekalan gula di pasaran,” ujarnya.

Menurut Armizan lagi, KPDN Sabah juga telah melaksanakan OPS Kristal sejak awal tahun 2024.

“Tujuan operasi ini adalah untuk membuat pemantauan dan pemeriksaan ke atas kedudukan bekalan gula di peringkat rantaian borong dan runcit pada setiap hari.

“Bagi tempoh 1 Januari hingga 5 April 2024, sebanyak 18 kes dikesan melibatkan pelanggaran undang-undang di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. Manakala jumlah aduan yang diterima daripada pengguna daripada 1 Januari hingga 31 Mac 2024 adalah sebanyak 17 aduan yang berkaitan dengan isu kekurangan bekalan gula di pasaran.

“Aduan-aduan ini telah diselesaikan dengan segera dengan mengarahkan pemborong- pemborong utama gula mengedarkan gula ke kawasan-kawasan terlibat,” jelas beliau.

RELATED ARTICLES
Utama

Aplikasi GoNet mudahkan pengguna buat tempahan fasiliti

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular