HomeIsu tempatanMaritim Malaysia tahan bot kargo, gagal isytihar muatan

Maritim Malaysia tahan bot kargo, gagal isytihar muatan

Read Time:1 Minute, 32 Second

Tawau : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menahan sebuah bot kargo tempatan yang membawa muatan pelbagai barangan runcit dan barang kawalan tanpa pengisytiharaan pada jam 1.15 petang semalam.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, dalam operasi yang dijalankan pihaknya segera ke lokasi dilaporkan di kedudukan 0.4 batu nautika selatan Jeti CIQ Tawau selepas menerima maklumat orang awam.

Katanya, pemeriksaan ke atas bot yang ditahan mendapati seorang warga tempatan berusia 37 tahun bertindak selaku juragan bot telah membawa pelbagai muatan.

“Antaranya 200 kilogram beras, 10 kotak minyak masak, 204 kilogram gula pasir, tiga gelen petrol dan tiga tong gas LPG disyaki untuk pasaran di Pulau Sebatik.

“Pemeriksaan lanjut mendapati juragan berkenaan gagal mengemukakan dokumen pengisytiharaan kastam berkaitan barangan yang dibawa dan tidak mempunyai lesen runcit beras.

“Juragan, bot serta muatan tersebut ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Tawau untuk disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Shahrizan berkata, kesemua barangan termasuk bot kargo, enjin bot dan muatan barangan disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah hampir RM27,000.

Katanya, modus operandi yang digunakan oleh peniaga adalah dengan membawa barangan runcit dalam kuantiti yang kecil namun secara berulang perlu dibanteras bagi mengelakkan sindiket penyeludupan membawa barang kawalan tersebut ke negara jiran.

“Penguatkuasaaan akan terus diperkasa bagi membanteras sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang tanpa mengira kuantiti barangan yang dibawa, khususnya di perairan Tawau.

“Maritim Malaysia memandang serius terhadap segala aktiviti jenayah rentas sempadan. Aset-aset ronda akan sentiasa bersiap sedia untuk diatur gerak pada bila-bila masa dalam menghadapi sebarang situasi,” katanya.

Menurutnya, sebarang maklumat berkaitan jenayah di laut boleh disalurkan terus ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau MERS 999. – SABAH MEDIA / FOTO MARITIM MALAYSIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Beliawanis Gagasan Rakyat digesa lebih aktif laksana program berbentuk ilmiah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular