HomeUtamaNashraff, Nadirah dinobatkan johan qari dan qariah Sabah

Nashraff, Nadirah dinobatkan johan qari dan qariah Sabah

Read Time:2 Minute, 33 Second

Putatan: Anak mantan Imam Besar Masjid Negeri Sabah (MNS), Nashraff Ideen Nahar, 31, dinobatkan johan qari Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Sabah (MTHQNS) 1445H/2024M.

Memperolehi jumlah markah terbanyak iaitu 91 mata, Nashraff yang mewakili tuan rumah menewaskan empat qari pada MTHQNS tahun ini.

Nashraff berkata, kejayaan beliau pada kali ini adalah hasil dorongan dan sokongan keluarga terutama ibunya selain berkat ilmu daripada para guru yang mengajar beliau tentang ilmu Al-Quran. 

“Sebelum ini saya pernah menyertai pertandingan tilawah sebanyak lima kali, dua kali tempat ketiga dan sekali naib johan.

“Sebelumnya pertandingan tilawah saya turut pernah menyertai pertandingan hafazan dan pernah beberapa kali mewakili negeri ke peringkat kebangsaan,” katanya.

Nashraff yang kini bertugas sebagai guru di Maahad Tahfiz Al-Quran Ibnu Al Jazari Beringgis, Papar berkata, cabaran yang paling sukar yang dihadapi beliau adalah pada teknik penyampaian melalui lontaran suara dan taranum yang memerlukan latihan intensif secara mujawwad (tilawah). 

Beliau yang turut dinobatkan sebagai Johan Terbaik MTHQNS 2024 memperuntukkan latihan bacaan sekitar satu hingga dua jam setiap hari.

Selain bertugas sebagai guru beliau kini turut mengikuti jejak Allahyarham bapanya (Nahar Mantamin) dan kini turut diamanahkan menjadi salah seorang Imam di MNS.

Sementara itu pelajar tahun akhir Universiti Sains Islam Malaysia jurusan Al-Quran dan Sunnah yang mewakili daerah Keningau, Nadirah Syazwani Sapari,25, dinobatkan sebagai johan qariah pada MTHQNS 1445H/2024M.

Nadirah berkata, beliau amat gembira namun masih terkejut apabila namanya diumum sebagai johan qariah peringkat negeri  tahun ini.

“Ketika ini perasaan gemuruh pun ada kerana akan mewakili negeri Sabah ke pentas kebangsaan yang mana akan perlu bersaing dengan ramai qariah dari negeri lain yang hebat-hebat.

“Ini penyertaan kali kedua yang mana kali pertama saya menyertai adalah pada tahun 2021.

“Pencapaian saya pada kali ini adalah hasil latihan gigih dan tunjuk ajar daripada guru dan bapa terutama dalam aspek taranum yang mana sekurang-kurangnya saya berlatih untuk menguasai tujuh jenis taranum bagi setiap surah,” katanya.

Berbeza dengan Nashraff, cabaran Nadirah ketika mempersiapkan diri untuk ke pertandingan ini adalah melalui kawalan pernafasan.

Katanya, ketika menyampaikan bacaan kawalan pernafasan amat penting agar penyampaian itu kena pada ayat yang tepat.

“Kita tidak boleh berhenti sesuka hati ketika membaca Al-Quran lebih-lebih lagi pada surah yang panjang,” katanya ketika ditemui.

Hadiah johan qari dan qariah disampaikan Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin yang turut dihadiri bersama Toh Puan Norlidah Datuk R.M Jasni di Dewan Sri Putatan, di sini semalam.

Johan qari dan qariah masing-masing membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000 dan piala iringan, pakej umrah sumbangan Sawit Kinabalu, seutas jam tangan sumbangan SEDCO dan sepersalinan pakaian sumbangan JAKIM.

Nashraff Ideen dan Nadirah Syazwani akan mewakili Sabah ke Majlis Tilawah Al-Quran dan Hafazan Peringkat Kebangsaan (MTHQK) Mei ini di Kuantan, Pahang.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Ir. Shahelmey Yahya, Speaker DUN Sabah Datuk Seri Kadzim M. Yahya, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, Yang Dipertua MUIS Datuk Seri Yahya Hussin, Pengarah JHEAINS Jumain Abd Ghani serta Pegawai Daerah Putatan, Masawi Salleh.

RELATED ARTICLES
Utama

KGKS terima geran PHEKS terbesar berjumlah RM56,000

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular