HomeIsu tempatanDBKK komited pastikan tahap kebersihan premis makanan terjamin

DBKK komited pastikan tahap kebersihan premis makanan terjamin

Read Time:1 Minute, 51 Second

Kota Kinabalu : Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) terus komited dalam memastikan tahap keselamatan makanan sentiasa terjamin dengan menjalankan pemeriksaan dan pemantauan dari masa ke semasa terhadap premis makanan di Bandaraya Kota Kinabalu.

Ini termasuklah penggredan premis makanan di Bandaraya Kota Kinabalu bagi memastikan keselamatan makanan di setiap premis makanan adalah terjamin dan selamat untuk dimakan.

DBKK dalam satu kenyataan memaklumkan, pemeriksaan dan penggredan premis makanan telah dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Persekitaran Bandaraya (JKPB) DBKK ke atas 13 premis makanan pada 25 hingga 26 April lalu meliputi beberapa.

Antaranya di Taman Putera Jaya, Telipok, TNK Commercial Centre, Plaza Tanjung Aru dan Plaza Alamesra.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati sembilan premis makanan telah digredkan, yang mana tiga premis telah mendapat Gred A, lima premis mendapat Gred B dan satu premis mendapat Gred C.

“Manakala empat premis makanan lagi adalah merupakan pemeriksaan susulan. Penarafan Bintang Tandas juga telah dijalankan di premis makanan yang diperiksa. Sebanyak empat buah premis makanan telah mendapat tiga Bintang ke atas, dan lima buah premis mendapat dua Bintang ke bawah.

“Kesemua premis telah diberikan teguran dan nasihat untuk membuat pembersihan dan penambahbaikan terhadap tandas premis mereka,” menurut kenyataan itu di sini hari ini.

Dalam pada itu, DBKK berkata, sebanyak lima premis didapati ada menjalankan kawalan makhluk perosak di premis mereka, manakala empat premis lagi belum membuat kawalan makhluk perosak.

Menurut DBKK, keempat-empat premis tersebut telah diberikan teguran dan arahan untuk membuat kawalan makhluk perosak bagi mengawal kehadiran lipas, lalat dan tikus di premis mereka.

“Sepanjang tempoh pemeriksaan, beberapa penemuan telah dikenal pasti iaitu terdapat pengendali makanan yang tidak mempunyai Kad Pengenalan Pengendali Makanan, pengusaha premis menjalankan aktiviti penyediaan makanan dan pencucian di kawasan kaki lima, pengendali makanan tidak mempunyai sijil kursus Latihan Pengendali Makanan, pengusaha premis tidak memiliki Sijil Kesihatan yang sah dan perangkap lemak tidak diselenggara dengan baik setiap masa.

“Lima Notis Penambahbaikan telah dikeluarkan ke atas beberapa premis bagi penemuan-penemuan yang telah dikenal pasti seperti yang dinyatakan di atas,” tambah kenyataan itu.

Sementara itu, sebanyak dua kompaun telah dikeluarkan di bawah Undang-Undang Kecil (Makanan dan Premis Makanan) 1966 di atas kesalahan pengusaha premis tidak mempunyai Sijil Kesihatan yang sah serta menjalankan aktiviti penyediaan makanan dan pencucian peralatan di kawasan kaki lima. – SABAH MEDIA / FOTO DBKK

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

111 warga PKK santuni penduduk Kg Lokub Kiulu

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular