HomeUtamaLebih 10,000 pengunjung meriahkan pelancaran Pesta Kaamatan negeri Sabah

Lebih 10,000 pengunjung meriahkan pelancaran Pesta Kaamatan negeri Sabah

Read Time:1 Minute, 41 Second

Ranau : Lebih 10,000 pengunjung dari pelbagai daerah di negeri ini hadir memeriahkan sambutan Pelancaran Pesta Kaamatan peringkat negeri Sabah 2024 di sini semalam.

Majlis pelancaran yang berlangsung di Dewan Masyarakat Ranau itu dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor dan diwakili Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.

Meskipun acara rasmi hanya bermula jam 9.40 pagi namun orang ramai dilihat mula membanjiri lokasi sambutan seawal jam 6 pagi.

Bermula dengan dendangan lagu tema Pesta Kaamatan 2024 bertajuk ‘Kaamatan Membudayakan Perpaduan’, pengunjung disajikan dengan persembahan tarian sambut tamu iaitu tarian Sayau dan Sumirid dari etnik suku kaum Dusun Ranau.

Sejurus selepas itu, pengunjung dihiburkan dengan persembahan Hiis ‘Sunduan Huminodun’ oleh 18 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Mat Salleh, Ranau disusuli persembahan koir lagu ‘Tadau Tagazo Do Kaamatan’ dan ‘Mi-iso Misompuru Id Koubasanan’ daripada kumpulan Good News Melody KDCA Ranau.

Acara diteruskan dengan ucapan alu-aluan daripada Pegawai Daerah, Tinus Manggam dan ucapan perasmian oleh Jeffrey sebelum menyempurnakan gimik perasmian bersama tetamu jemputan yang lain.

Sambutan kemudian diteruskan dengan persembahan Pasalakoi Do Babarayon oleh lapan orang Bobohizan daripada KDCA Kg. Mininsalu, Ranau dan drama tari Huminodun oleh kumpulan Tisakkor.

Dalam majlis berkenaan, turut diadakan gimik penyerahan Seeds Spirit Revival oleh Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Robert Stidi kepada Jeffrey dan gimik penyerahan bakul makanan PETRONAS oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan PETRONAS, Shariah Nelly Francis.

Pada majlis yang sama, turut diadakan penyampaian empat anugerah iaitu Anugerah Khas Usahawan Tani, Anugerah Wanita, Anugerah Khas Belia dan Anugerah Tokoh Luguan Kaamatan Ranau Tahun 2024.

Menutup tirai persembahan, orang ramai dihiburkan dengan penampilan khas Juara Sugandoi Kaamatan Daerah Ranau Tahun 2024, Feli Stacy Paimin dan Unduk Ngadau Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2023, Tati Carol Abbey Gail.

Sebelum berakhir, majlis menyaksikan lambaian akhir Unduk Ngadau Daerah Ranau 2023, Tati Fiumie Chang Yee Ann sebelum dipersembahkan dengan penampilan 12 finalis Unduk Ngadau Kaamatan Daerah Ranau 2024.

Selain acara di dalam dewan, pelbagai gerai jualan kraftangan, makanan dan minuman turut tersedia di perkarangan Dewan Masyarakat Ranau sepanjang sambutan berlangsung.

RELATED ARTICLES
Utama

Tiada kompromi 40 peratus, pertahankan hak perlembagaan Negeri Sabah – Hajiji

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular