HomeIsu tempatanDua bot tempatan ditahan, gagal patuhi syarat sah lesen

Dua bot tempatan ditahan, gagal patuhi syarat sah lesen

Read Time:1 Minute, 43 Second

Tawau : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menahan dua buah bot tempatan kerana gagal mematuhi syarat sah lesen dalam dua tangkapan berasingan semalam.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, pihaknya dalam satu operasi berjaya mengesan dan memeriksa sebuah bot nelayan yang menjalankan aktiviti menangkap ikan di sekitar Perairan Inderasabah pada jam 12.15 tengah hari.

Katanya, pemeriksaan ke atas bot yang ditahan di kedudukan 6.8 batu nautika selatan Inderasabah itu mendapati dua lelaki warga Indonesia masing-masing berusia 41 dan 24 tahun bertindak selaku nakhoda dan kru bot tersebut.

“Pemeriksaan dokumentasi bot tersebut telah mendapati nama nakhoda bot tersebut tiada dalam pendaftaran dan gagal memaklumkan pertukaran nakhoda.

“Kira-kira 15 minit selepas itu, sebuah lagi bot kargo tempatan turut ditahan dan diperiksa oleh kapal peronda Maritim Malaysia yang menjalankan operasi sama.

“Pemeriksaan ke atas sebuah bot kargo yang sarat membawa muatan buah sawit itu mendapati seorang nakhoda lelaki warga Indonesia berusia 37 tahun, juga gagal memaklumkan pertukaran nakhoda bot tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini.

Shahrizan berkata, kedua-dua bot bersama muatan serta kesemua krew tersebut seterusnya ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952-MSO 1952 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) 2002 kerana didapati melanggar syarat sah lesen.

Katanya, kesemua barangan termasuk kedua-dua bot dan muatan disita sehingga proses siasatan selesai dengan nilai rampasan keseluruhan lebih RM160,000.

Beliau turut menegaskan kepada komuniti maritim setempat untuk sentiasa lebih peka dengan syarat-syarat lesen yang telah ditetapkan.

Pihaknya tidak akan berkompromi jika didapati gagal mematuhi syarat sah lesen yang dikeluarkan.

“Maritim Malaysia akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan dan mengoptimumkan pengoperasian bagi membanteras aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang  di  Zon  Maritim  Malaysia  khususnya  di  perairan  Timur  Sabah (ESSZONE).

“Salurkan sebarang salah laku jenayah yang berlaku di sekitar perairan Tawau ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-752116 dan talian MERS 999,” katanya. – SABAH MEDIA / FOTO MARITIM MALAYSIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

PKK Biz @ Akademia catat lebih RM20,000 nilai jualan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular