HomePendapatRakyat tidak 'bahagia', pelbagai isu dan cabaran jejas kesejahteraan hidup

Rakyat tidak ‘bahagia’, pelbagai isu dan cabaran jejas kesejahteraan hidup

Read Time:5 Minute, 22 Second

Oleh WAN AZRAIN ADNAN

1.        Laporan Kebahagiaan Dunia 2024 telah meletakkan Malaysia di tangga ke-59 daripada 143 buah negara. Ini merupakan penurunan 4 tangga, dari kedudukan ke-55 pada tahun 2023.

2.        Sepanjang tempoh 10 tahun (2013 – 2024), kedudukan Kebahagiaan Malaysia telah turun naik, di mana kedudukan tertinggi adalah tangga ke-35, manakala kedudukan terendah adalah tangga ke-81.

3.        Tidaklah mengejutkan, kedudukan Kebahagiaan Malaysia berada di paras terendah di antara tahun 2019 – 2022, iaitu ketika seluruh dunia di landa pandemik Covid-19, dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di laksanakan oleh Kerajaan Malaysia. Pandemik Covid-19 telah menyebabkan ramai rakyat menderita akibat jangkitan Covid-19, serta lebih ramai rakyat menderita krisis kewangan kerana kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan.

4.        Untuk 7 tahun berturut-turut (2018 – 2024), Laporan Kebahagiaan Dunia berkenaantelah menobatkan Finland sebagai negara paling bahagia di dunia. Ini adalah satu pencapaian yang menakjubkan.

Persoalan: Mengapakah Finland bahagia?

5.        Fakta menarik: Finland adalah sebuah negara di benua Eropah, dengan keluasan 338,450 km², yang merupakan negara ke-66 terbesar di dunia. Ia mempunyai jumlah populasi seramai 5.55 juta orang. Manakala, purata jangka hayat penduduk ialah 81.93 tahun.

6.        Sebagai perbandingan. Malaysia memiliki keluasan 330,803 km², yang merupakan negara ke-69 terbesar di dunia. Jumlah populasi Malaysia adalah 32.65 juta orang. Purata jangka hayat penduduk ialah 74.88 tahun.

7.        Pencapaian tersebut telah mendorong ramai pihak untuk merungkai faktor kejayaan Finland dengan memberikan pelbagai pandangan. Antara faktor kejayaan yang di ketengahkan adalah:

Keseimbangan Pekerjaan – Kehidupan/ Work-Life Balance: Menurut kajian yang di laksanakan oleh KISI, bandar Helsinki, iaitu ibu negara Finland, merupakan salah satu bandar yang menyediakan work-life balance terbaik di dunia.

Secara purata, pekerja di Finland bekerja 35.3 jam seminggu.

  • Alam Semulajadi: Di Finland, jarak ke mana-mana kawasan taman dan hutan hanyalah dalam lingkungan 10 minit sahaja. Jarak yang berdekatan dengan alam semulajadi menawarkan peluang rekreasi dan istirahat untuk penduduk Finland.

Alam semulajadi yang tidak tercemar, udara yang segar dan air yang bersih memberikan kesejahteraan dan kebahagiaan.

Dengan keluasan yang besar (338,450 km²) dan jumlah penduduk yang tidak ramai (5.55 juta orang), Finland memiliki kepadatan penduduk yang rendah.

  • Kebajikan Rakyat: Data Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD), menunjukkan Finland membelanjakan jumlah yang besar untuk menyediakan sistem kebajikan rakyat/ welfare system yang baik. Pada tahun 2022, perbelanjaan kebajikan/ social spending Finland adalah 29% dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)/ Gross Domestic Product (GDP).

Ini merangkumi pemberian bantuan untuk isirumah berpendapatan rendah, pengganggur, warga tua, pesakit dan Orang Kurang Upaya (OKU).

Sumber: Lawan sesawang: https://data.oecd.org
§  Pendapatan: Data OECD turut merekodkan Finland memiliki jurang pendapatan penduduk/ income inequality yang rendah. 
Pada masa yang sama, kadar kemiskinan penduduk Finland juga rendah.

Pendidikan: Finland di iktiraf sebagai peneraju sistem pendidikan yang terbaik di dunia.

Antara aspek unik sistem pendidikan Finland ialah ketiadaan sekolah persendirian/ private schools. Semua sekolah di Finland adalah di biayai oleh kerajaan. Maka, semua pelajar, tanpa mengira latar belakang dan kedudukan kewangan, mesti menghadiri sekolah ‘biayaan-kerajaan’ yang sama. Dengan itu, seluruh masyarakat Finland mempunyai kepentingan yang sama untuk memastikan kualiti sekolah dan pembelajaran.

Di samping itu, Finland juga tiada peperiksaan nasional/ standardised testing, kecuali satu peperiksaan di penghujung persekolahan peringkat menengah/ high school, iaitu National Matriculation Exam.

8.        Manakala, sebagai perbandingan, situasi di Malaysia banyak berbeza dengan Finland. Antaranya:

§  Keseimbangan Pekerjaan – Kehidupan/ Work-Life Balance: Menurut kajian yang di laksanakan oleh KISI, Kuala Lumpur merupakan salah satu bandar yang menyediakan work-life balance terburuk di dunia.

Secara purata, pekerja di Malaysia bekerja 44.7 jam seminggu.

§  Pendapatan: Lebih 1/3 pekerja di Malaysia mendapat pendapatan yang rendah, dan berada di bawah paras Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) negara RM 2,589 sebulan.

Menurut Laporan Statistik Upah Pekerja (Sektor Formal) bagi Suku Ketiga 2023 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sejumlah 34.6% (2.31 juta orang) pekerja sektor formal di Malaysia memperolehi upah di bawah RM 2,000 sebulan.

Kuala Lumpur mencatatkan median upah bulanan tertinggi (RM 3,800) di Malaysia, manakala Kelantan pula terendah (RM1,600).

Di samping itu, menurut data Bank Dunia pada tahun 2021, Gini Index untuk Malaysia adalah 40.7 (Finland = 27.7). Angka Gini Index yang besar menggambarkan jurang pendapatan penduduk yang besar.

  • Pendidikan:

Pada Oktober 2018, susulan Seminar Sistem Pendidikan Finland 2018 yang di anjurkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bersama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Menteri Pendidikan Malaysia telah memaklumkan bahawa Agensi Kebangsaan Pendidikan Finland sedia bekerjasama untuk memperkasakan sistem pendidikan negara.

Mungkin kerana itu KPM telah mendapat idea dari Finland dengan memansuhkan dua peperiksaan utama negara: Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun 2021, dan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) pada tahun 2022.

Di Malaysia, sistem pendidikan sekolah merangkumi pelbagai jenis sekolah dan pembelajaran, termasuklah: sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan, sekolah agama, sekolah persendirian, sekolah antarabangsa, sekolah berasrama penuh. Oleh kerana itu, masyarakat mempunyai tumpuan dan kepentingan berbeza-beza terhadap kualiti sekolah dan pembelajaran.

Maka, golongan berpendapatan tinggi boleh memilih dan mendapat akses kepada pendidikan yang lebih berkualiti, berbanding dengan golongan berpendapatan rendah.

9.        Pada pertengahan Mac 2024, Laporan Kebahagian Malaysia 2024 telah menobatkan Negeri Sembilan sebagai negeri paling bahagia. Manakala, Cameron Highlands pula di nobatkan sebagai bandar paling bahagia di Malaysia.

10.      Adakah satu kebetulan kedudukan Cameron Highlands sebagai bandar paling bahagia di Malaysia, memiliki ciri-ciri yang serupa dengan negara paling bahagia di dunia (Finland), iaitu: cuaca sejuk dan nyaman, udara yang segar, alam semulajadi yang berdekatan?

11.      Rata-rata rakyat Malaysia tidaklah begitu bahagia, memandangkan pelbagai isu dan cabaran yang menjejaskan kesejahteraan hidup ketika ini, terutamanya: kos sara hidup yang kian meningkat dan pendapatan rendah yang tidak mencukupi. Ini telah menyebabkan ramai rakyat Malaysia menghadapi tekanan hidup dan mengalami masalah kesihatan mental.

12.      Tambahan lagi, rakyat Malaysia juga terpaksa berdepan dengan defisit kepercayaan/ trust deficit terhadap kerajaan dan kepimpinan negara. Ini termasuklah: karenah ahli-ahli politik yang berterusan mengugat kestabilan politik negara, gejala rasuah yang berleluasa di dalam kerajaan, kebebasan serta kecekapan badan kehakiman, perundangan, keselamatan dan penguatkuasa.

13.      Mahatma Ghandi pernah berkata: Happiness is when what you think, what you say and what you do are in harmony.

RELATED ARTICLES
Pendapat

Masalah generasi muda perlu pendekatan menyeluruh, merentasi seluruh agensi Kerajaan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular