HomeUtamaPengambilan dadah, alkohol dalam kalangan remaja jadi isu serius

Pengambilan dadah, alkohol dalam kalangan remaja jadi isu serius

Read Time:1 Minute, 45 Second

Penampang : Pengambilan dadah dan alkohol dalam kalangan remaja di negara ini dilihat menjadi isu serius apabila seramai 106,000 remaja direkodkan pernah mengambil dadah sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup.

Ahli Parlimen Penampang Datuk Ewon Benedick berkata, sebanyak 20 peratus daripada remaja adalah peminum minuman beralkohol pada masa lampau dan 65 peratus daripadanya telah mencuba alkohol sebelum mencapai usia 14 tahun.

“Melihat kepada perkembangan ini dan kepentingan pengkhususan penjagaan kesihatan kepada golongan remaja, Perkhidmatan Kesihatan Remaja telah diperkenalkan dan disusuli oleh Dasar Kesihatan Remaja Negara pada tahun 2001.

“Ini bertujuan untuk menggalakkan dan memastikan pembangunan remaja supaya mereka menyedari tanggungjawab terhadap kesihatan diri sendiri, memperkasa remaja dengan pengetahuan dan kemahiran yang mantap bagi membolehkan mereka mengamalkan tingkah laku sihat melalui penyertaan yang aktif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Kesihatan Remaja daerah Penampang di sini hari ini.

Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkata, beberapa strategi telah disusun dalam pelaksanaan Dasar Kesihatan Remaja Negara, termasuk mendorong kesedaran kesihatan melalui integrasi tindakan individu dan masyarakat.

Katanya, ia adalah bagi membantu remaja membuat keputusan yang bijak, mengembangkan kemahiran pengurusan risiko, mengamalkan gaya hidup sihat, bertanggungjawab, dan membantu mencipta persekitaran yang menyokong kesihatan remaja.

“Kerjasama dan rangkaian kerja yang kukuh di antara agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, dan pemimpin rakan sebaya adalah penting melalui aktiviti penggalakan dan sokongan masyarakat.

“Semua ini adalah selaras dengan perlaksanaan  karnival yang diadakan pada hari yang bertemakan ‘Remaja Sihat Aspirasi Negara’  yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti kesihatan remaja.

“Adalah penting untuk kita semua mengakui bahawa remaja adalah aset berharga masa depan kita. Melalui pelbagai program dan strategi yang diformulasikan untuk meningkatkan kesihatan mereka seperti yang dilaksanakan pada hari ini, kita dapat memberikan landasan yang kukuh bagi pembangunan negara,” katanya.

Dalam pada itu, Ewon berkata, Sabah merupakan antara tiga negeri yang mencatatkan jumlah populasi di bawah usia 18 tahun tertinggi di Malaysia selepas Selangor dan Johor berdasarkan Statistik Kanak-Kanak Malaysia 2022 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Katanya, secara khususnya bagi daerah Penampang, jumlah populasi remaja adalah seramai 25,000 orang iaitu 12.95 peratus dari jumlah populasi keseluruhan Daerah Penampang. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Nurul Yanadido ke Hongkod Koisaan kali kedua

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular