HomeUtamaTH tanggung lebih RM350 juta bantu golongan B40,M40

TH tanggung lebih RM350 juta bantu golongan B40,M40

Read Time:1 Minute, 47 Second

Kota Kinabalu : Lembaga Tabung Haji (TH) menanggung lebih RM350 juta pada tahun ini menerusi inisiatif Bantuan Kewangan Haji bersasar bagi membantu golongan B40 dan M40 khususnya bagi mengurangkan beban kewangan mereka.

Ketua Perundangan dan Sekretarial Kumpulan Jabatan Perundangan dan Sekretarial TH Mohd Shuhaimi Ismail berkata, ia adalah bagi menanggung kos-kos langsung dan tidak langsung tunai haji.

Katanya, ia seperti kos penerbangan, penginapan, sajian makanan dan pengangkutan serta pelbagai bayaran kepada pihak ketiga di tanah suci.

“Kos haji terkesan dengan peningkatan setiap tahun atas faktor-faktor di luar kawalan TH seperti kadar inflasi, cukai nilai tambah (VAT), peningkatan caj perkhidmatan Arab Saudi, kos pasca COVID-19 serta pembangunan di Makkah dan Madinah.

“Namun, seperti tahun-tahun sebelum ini, TH meneruskan Bantuan Kewangan Haji bersasar kepada golongan B40 dan M40 bagi membantu mengurangkan beban kewangan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Kursus Perdana Haji (KPH) peringkat Negeri Sabah (Zon Pantai Barat) Musim Haji 1445H/2024M di sini semalam.

Majlis perasmian dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang diwakili Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif.

Hadir sama, Pengarah TH Wilayah Sabah dan Sarawak Datuk Nurlaila Said dan Pengarah TH Sabah Yusdi Nasip.

Mohd Shuhaimi berkata, kos yang ditanggung TH itu juga meliputi kos penganjuran kursus, ubat-ubatan, perkhidmatan kesihatan serta operasi haji tanah air di lapan stesen berlepas.

Meskipun kos meningkat katanya, semua perkhidmatan yang ditawarkan oleh TH kekal komprehensif dan di tahap tinggi demi menjaga kebajikan, keselesaan serta keselamatan jemaah haji Malaysia.

Dalam pada itu, Mohd Shuhaimi berkata, TH turut melancarkan tiga inisiatif digitalisasi operasi haji antaranya aplikasi  TH hujjaj yang akan memudahkan jemaah haji mendapat maklumat terkini sepanjang perjalanan haji mereka.

“Selain itu, e-Bimbingan dibangunkan sebagai platform pembelajaran ibadat haji secara atas talian yang dapat diakses oleh semua bakal haji tahun semasa.

“Begitu juga dengan e-TAIB, yang membolehkan jemaah haji mengajukan soalan bimbingan haji serta hukum hakam dan mendapat penjelasan secara atas talian daripada Pembimbing Ibadat Haji yang bertugas di Tanah Suci. Inisiatif digitalisasi ini adalah selaras dengan Pelan 3 tahun HIJRAH24 TH yang bermula sejak tahun 2022,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Nurul Yanadido ke Hongkod Koisaan kali kedua

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular