HomeUtamaPembinaan Empangan Kaiduan, Papar perlu dilaksana segera atasi masalah bekalan air -...

Pembinaan Empangan Kaiduan, Papar perlu dilaksana segera atasi masalah bekalan air – Armizan

Read Time:2 Minute, 45 Second

PAPAR: Pembinaan empangan Kaiduan, Papar perlu dilaksanakan segera untuk mengatasi masalah bekalan air di sekitar Papar dan Kota Kinabalu, kata Ahli Parlimen Papar Datuk Armizan Mohd Ali.

Justeru, beliau turut merayu kepada pihak berkenaan khususnya kepada kerajaan negeri dan penduduk sekitar yang terlibat supaya memberikan kata sepakat untuk menyokong pembinaan empangan tersebut.

“Ini adalah untuk kepentingan rakyat dan juga negeri ini,
untuk jangka masa panjang kita tahu kawasan perindustrian akan muncul di Kimanis, taman perumahan bertingkat semakin banyak di kawasan Papar, jadi tempoh 5 hingga10 tahun akan datang tidak ada pilihan lain untuk Papar dan Kota Kinabalu memerlukan sekurang-kurangnya “off-river storage” dan sebaik-baiknya adalah empangan untuk simpan air mentah,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Loji Rawatan Air Kogopon di sini hari ini.
.
Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup yang juga Ahli Parlimen Papar berkata, empangan tersebut dibina supaya loji rawatan air tidak hanya bergantung kepada sungai.

“Sekarang ini kita hanya bergantung sepenuhnya kepada sungai di kawasan Papar dan bila ada masalah sungai seperti bacaan tahap kemasinan air tinggi, kita tiada sumber air lain, itulah masalah kita di Parlimen Papar, walaupun ada loji air tetapi tidak ada air mentah yang boleh dirawat.

” Justeru itu, kita mengharapkan di bawah kepimpinan kerajaan GRS-PH pada hari ini dengan adanya kestabilan dengan kerjasama rakyat secara keseluruhannya, kita merayu supaya semua dapat mencari titik persamaan bahawa kita ketepikan kepentingan politik, kita perlu membuat keputusan segera untuk pembinaan empangan tersebut supaya kita ada pengurusan air yang lebih mampan lagi bukan hanya untuk Papar tetapi untuk negeri Sabah.

“Selain itu, kita mahu banyak pelabur masuk di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), Taman Perindustrian Gas dan Minyak Sipitang (SOGIP), tetapi sekiranya kita tidak ada jaminan untuk bekalan air kepada pelabur apatah lagi untuk kegunaan domestik, rakyat kita sendiri pun kita tidak boleh menjamin bekalan air itu maka kita tidak yakin bahawa perancangan pembangunan kita juga akan terencat,” tegasnya.

Ditanya mengenai kekangan yang dihadapi bagi membina empangan air tersebut, Armizan berkata, antaranya campur tangan pihak lain yang telah memberi penerangan tidak lengkap kepada penduduk sekitar yang terlibat.

“Pihak tersebut mendakwa pembinaan empangan tersebut akan mengancam keselamatan, merosakkan sosio-ekonomi penduduk dan sebagainya.

“Malah institusi-institusi yang ingin membuat kajian kebolehlaksanaan projek itu juga telah dihalang oleh pihak-pihak tertentu untuk memasuki kawasan tersebut.

“Kajian tersebut adalah untuk memastikan bentuk jaminan perlindungan sosio-ekonomi dan keselamatan yang boleh diberikan kepada rakyat. Bagi saya ini adalah untuk kepentingan awam.

“Saya harap kerajaan negeri perlu bertegas sekiranya ada pihak lain yang sebenarnya bukan orang tempatan yang cuba campur tangan memberikan maklumat yang tidak tepat serta menghasut masyarakat setempat dengan fakta-fakta yang tidak benar.

“Saya fikir kerajaan negeri perlu mengambil tindakan tegas termasuklah mengambil tindakan undang-undang yang ada terhadap pihak berkenaan,” tegas beliau lagi.

Sementara itu, projek naik taraf Loji Rawatan Air Kogopon setakat 25 April 24, status kemajuan pembinaanya sebanyak 9.59 peratus.

Armizan berkata, status kemajuan pembinaan pojek naik taraf LRA Kogopon itu dilihat satu perkembangan yang positif.

“Peratus kemajuan pembinaannya berada ke hadapan daripada yang dijadualkan,” katanya.

Beliau berharap projek penambahan kapasiti LRA Kogopon yang bakal menyalurkan bekalan air sebanyak 40 juta liter air sehari (JLH) dapat disiapkan lebih awal seperti yang dijadualkan iaitu 2023 – 2026 sebagai tambahan kepada 63 juta JLH yang sedia ada.

RELATED ARTICLES
Utama

400 menara telekomunikasi di Sabah siap hujung tahun ini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular