HomeSukanSabah mahu kekalkan kejuaraan Liga Wanita Nasional

Sabah mahu kekalkan kejuaraan Liga Wanita Nasional

Read Time:1 Minute, 30 Second

Kota Kinabalu : Pasukan bola sepak wanita Sabah mahu mengekalkan kejuaraan Liga Wanita Nasional (LWN) pada tahun ini selepas berjaya menjuarai LWN yang julung kali diadakan pada tahun lalu.

Pengendali Sabah, Justin Ganai bagaimanapun berkata, sasaran itu dilihat bukan mudah tanpa ada kerjasama pelbagai pihak khususnya para pemain.

“Untuk LWN, kita sudah tentulah mensasarkan untuk juara dan mahu mengekalkan kejuaraan yang dimenangi tahun lalu.

“Tapi itu bukanlah mudah, jadi kita akan berusaha keras untuk mempertahankan kejuaraan dan begitu juga dengan pasukan yang akan menyertai Sukan Malaysia (SUKMA) di Sarawak,” katanya.

Justin (kiri) dan Arziz Afizy (kanan)

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis menandatangani kontrak pegawai dan pemain pasukan bola sepak wanita Sabah bagi tahun 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini semalam.

Majlis itu disaksikan Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Datuk Awang Kadin Tang dan turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita Muhd Arziz Afizy Rusmani.

Justin berkata, beliau turut berharap agar pasukan SUKMA dapat manfaat menerusi latihan bersama pasukan LWN.

“Biarpun bukan saya jurulatih SUKMA, tapi saya berlatih bersama-sama pasukan SUKMA dan kita harapkan pasukan SUKMA akan dapat manfaat untuk berlatih bersama-sama dan harap mereka juga akan jadi juara,” katanya.

Dalam pada itu, Arziz Afizy berkata, beliau juga turut yakin pasukan Sabah akan dapat mengekalkan kejuaraan LWN pada tahun ini.

“Saya yakin dan percaya kepada jurulatih kita Justin Ganai dan juga pemain-pemain kita boleh mengekalkan kejuaraan untuk kali kedua.

“Dan untuk menjadi juara, pasukan bola sepak wanita ini kenalah berlatih lebih, jaga momentum untuk menghadapi saingan LWN 2024,” katanya.

Tahun lalu, Sabah berjaya menjuarai LWN buat julung kalinya dan saingan pada tahun ini akan bermula awal Julai ini.

Pada majlis itu, seramai 25 pemain menandatangi kontrak bagi pasukan LWN dan 23 pemain lagi akan mewakili Sabah pada SUKMA di Sarawak. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Sukan

Sabah luluskan peruntukan RM12.24 juta naik taraf kemudahan Stadium Likas

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular