HomeUtamaKakitangan UPPM perlu terus tingkat nilai integriti

Kakitangan UPPM perlu terus tingkat nilai integriti

Read Time:1 Minute, 41 Second

Kota Kinabalu: Pemimpin masyarakat khususnya warga Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) di negeri ini perlu terus meningkatkan nilai integriti dalam jiwa dan gerak kerja mereka.

Pengarah UPPM, Datuk Awang Kadin Tang berkata, mereka juga perlu sentiasa menjauhkan diri daripada melakukan amalan yang mempunyai unsur rasuah, selain sentiasa bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam menangani amalan rasuah, salahguna kuasa dan penyelewangan secara lebih holistik.

“Rasuah mungkin berlaku tanpa melibatkan duit, tetapi dalam bentuk yang lain seperti penerimaan dan penyalahgunakan kuasa dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Seminar Antirasuah dan Tatakelola ‘Ke Arah Memperkasa Jentera Pemudahcara’ di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu di sini semalam.

Seminar itu dianjurkan bersama UPPM Jabatan Ketua Menteri dan SPRM Negeri Sabah.

Ia turut disertai kira-kira 200 peserta terdiri daripada kakitangan UPPM daripada 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) seluruh Sabah dan Ketua-Ketua Daerah (KD) negeri ini.

Awang Kadin berkata, UPPM menganjurkan seminar itu dengan objektif meningkatkan keyakinan dan kesanggupan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) dan Ketua Daerah untuk bersama-sama SPRM dalam menolak amalan rasuah, salahguna kuasa dan penyelewengan.

Katanya, seminar itu juga bertujuan menyampaikan mesej antirasuah melalui PPM dan KD sebagai ejen kerajaan yang berhubung secara terus kepada masyarakat di peringkat akar umbi.

Beliau berkata, menerusi seminar ini dapat mengikis persepsi negatif masyarakat terhadap usaha pencegahan rasuah, selain mengekalkan hubungan dan menghargai kerjasama strategik dua hala SPRM Sabah dan UPPM, serta menggalakkan masyarakat melaporkan jenayah rasuah kepada SPRM.

Awang Kadin juga berharap dengan penganjuran seminar itu akan menjadi jambatan penghubung antara UPPM dan SPRM untuk menggerakkan lebih banyak program usahasama pada masa akan datang.

“Semoga seminar ini membantu membentuk sebuah negara yang bebas rasuah dengan warganya membudayakan ketelusan, akauntabiliti, dan integriti,” katanya.

Sebanyak dua kertas kerja dibentangkan pada seminar itu yang bertajuk ‘Peranan Pemimpin Masyarakat Dalam Memerangi Rasuah’ oleh Pengarah Bahagian Urus Tadbir Sektor Awam (BUTSA) SPRM, Ketua Penolong Kanan Pesuruhjaya (KPKPj) Sudirman Aban dan ‘Tatakelola Kepimpinan Untuk Kesejahteraan Masyarakat’ oleh Ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) SPRM, Datin Yasmin Tan Sri Ahmad Merican. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

KPKM komited teroka peluang baharu tingkat penyertaan belia dalam bidang pertanian

Bangunan Kerajaan Sabah Pentadbiran Sabah Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular