HomeUtamaS-Press inovasi JKSNS segerakan penghakiman syariah

S-Press inovasi JKSNS segerakan penghakiman syariah

Read Time:1 Minute, 58 Second

Kota Kinabalu : Inovasi S-Press merupakan inisiatif Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sabah (JKSNS) untuk memastikan penghakiman syariah dapat dilaksanakan dengan segera.

Ketua Hakim Syarie, Ahadin Arinen berkata, menerusi S-Press, kes-kes perceraian biasa atau persetujuan bersama, kes-kes wali hakim atas faktor atau alasan anak tak sah taraf serta mualaf dapat dilaksanakan sehingga mendapat perintah bersih dalam waktu sehari.

Ahadin ketika ditemui media di Kompleks Mahkamah Syariah Kota Kinabalu.

“Kita tidak mahu berlakunya tangguhan kes yang berpanjangan, ketidakaturan dan sambil lewa dalam melengkapkan dokumen yang sepatutnya. Pihak-pihak mengharapkan kes mereka dapat diselesaikan dengan segera dan mendapat keadilan.

“JKSNS dan mahkamah juga berusaha untuk meminimumkan serta mengurangkan masa bagi memastikan sesuatu penghakiman dapat dikeluarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penerimaan Masuk Peguam Syarie Negeri Sabah 2024, di sini semalam.

Pada prosiding tersebut, Darwina Darwis dan Nuzullailah Abdul Rashid diterima masuk sebagai Peguam Syarie Negeri Sabah bagi tahun 2024 menjadikan jumlah peguam syarie berdaftar di negeri ini adalah seramai 189 orang.

Darna (kiri) dan Nuzullailah (kanan) ketika ditemui selepas Prosiding Penerimaan Peguam Syarie

Bagi memenuhi kehendak di dalam Kaedah 12(1) Kaedah-Kaedah Peguam Syarie Negeri Sabah Tahun 2021, permohonan untuk diterima masuk sebagai peguam syarie hendaklah difailkan dalam Mahkamah Tinggi.  

Penerimaan masuk peguam syarie kali ini melalui dua proses iaitu permohonan di Mahkamah Tinggi selepas proses temuduga oleh  panel-panel yang telah dilantik oleh Jawatankuasa Khas Peguam Syarie yang terdiri daripada seorang wakil peguam syarie, Ketua Pendakwa Syarie dan wakil dari Hakim Mahkamah Tinggi Syariah (MTS).

Selain itu, Ahadin turut menasihatkan semua peguam syarie supaya tidak meletakkan perniagaan sebagai medium asas utama sehingga mengetepikan keadilan yang sepatutnya diutamakan dan menjadi prioriti.

“Peranan peguam syarie adalah membantu institusi mahkamah dalam mencapai keputusan yang adil dan sesuai dengan kehendak hukum syarak.

“Selain membantu melicinkan urusan mahkamah, peguam syarie juga perlu membantu pihak-pihak atau orang awam dalam memberikan nasihat perundangan dan sebagainya.

“Janganlah sekali-kali kita menzalimi atas apa yang telah diamanahkan atau perkara yang menjadi amanah pada diri kita, terapkan nilai-nilai murni dan integriti dalam melaksanakan amanah diberi supaya keadilan maksimum dapat dicapai,” katanya.

Turut hadir, Ketua Bahagian Litigasi Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah , Mohd Saifurrazee Mohamed @ Hussin, Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sabah, Nawawi Diman, Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sabah, Ade Rizal Pahlevi Mohd Zen dan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sabah, Taherah Tahir.

RELATED ARTICLES
Utama

Gagasan Rakyat Likas jadi rakan strategik DBKK bagi penduduk di DUN...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular