HomeUtamaPelbagai inisiatif disedia galak pembayaran tanpa tunai

Pelbagai inisiatif disedia galak pembayaran tanpa tunai

Read Time:2 Minute, 4 Second

Ranau: Kerajaan negeri menyediakan pelbagai inisiatif untuk membudayakan pembayaran tanpa tunai untuk mengupayakan terimaan hasil negeri.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, ia termasuklah dalam pembayaran lesen, permit serta kemudahan awam melalui kaedah tanpa tunai.

Katanya,  antara inisiatif itu termasuklah Aplikasi Sabah Pay yang dilancarkan oleh Perbadanan Pinjaman Sabah (SCC) dan inisiatif terbaharu iaitu YONO (You Only Need One).

“Ketika penularan pandemik COVID-19, telah memaksa masyarakat untuk menyakinkan diri menggunakan aplikasi mudah alih atau mobile app melalukan pembayaran. Penggunaan Aplikasi Sabah Pay sendiri telah berjaya mengumpul sebanyak RM46 juta sehingga 31 Oktober 2023.

“Surat pekeliling telah dikeluarkan pada 1 Disember 2022 oleh Kementerian Kewangan Negeri sebagai panduan untuk agensi-agensi kerajaan yang menyediakan perkhidmatan C2G (Customer To Government) dan B2G (Business To Government).

“Antara mod pembayaran yang diterima adalah Kad Kredit, Kad Debit,Kad Caj, eDompet dan khidmat perbankan internet yang tersedia,” katanya ketika merasmikan Pelancaran Program E-Duit Desa Komuniti Cashless di Tamu Pagi Kundasang, di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.

Hajiji berkata, semua usaha yang dilaksanakan kerajaan negeri ini adalah demi kesejahteraan rakyat sekali gus membuktikan keprihatinan bagi membawa pembangunan dan kemajuan khususnya berkaitan teknologi terkini kepada rakyat.

Katanya, transaksi tanpa tunai menawarkan banyak manfaat, termasuk kaedah pembayaran yang lebih mudah, cepat, dan selamat.

“Inisiatif ini bukan sahaja memudahkan transaksi harian tetapi juga menyelesaikan isu lama seperti kekurangan mesin ATM di kawasan luar bandar.

“Justeru, dalam memastikan pembayaran tanpa tunai memberi manfaat kepada kesejahteraan rakyat sejagat, kerajaan negeri dan Persekutuan sentiasa prihatin untuk memastikan prasarana komunikasi tersedia.

“Dalam hal ini, usaha dipergiatkan untuk menyiapkan sebanyak 398 menara telekomunikasi di seluruh negeri melalui Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) dalam kadar segera,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata inisiatif Agrobank menerusi program ini selaras dengan visi kerajaan negeri Sabah untuk meningkatkan penggunaan dan akses kepada pembayaran digitalisasi di seluruh negeri.

“Dengan menerima pakai pembayaran digital, ia dapat meningkatkan dan pemantapan ke arah ekonomi yang lebih cekap dan telus. Justeru, usaha berterusan Agrobank memperkenalkan perkhidmatan pembayaran tanpa tunai di Sabah, amat dihargai.

“Saya berharap Program Komuniti Cashless Kundasang yang bertujuan mengisytiharkan Ranau sebagai wilayah tanpa tunai dengan mendidik penduduk tempatan Ranau mengenai penggunaan pembayaran online dan QR, dapat mencapai matlamat dan mendapat sokongan daripada penduduk di daerah ini.

“Pada hemat saya, ini adalah antara inisiatif yang amat baik dan saya berharap Agrobank akan sentiasa merangka dan memperluaskan lagi inisiatif pembayaran tanpa tunai ini ke kawasan-kawasan lain di Sabah,” katanya. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Utama

Belanjawan Sabah 2025 : Penjawat awam Sabah terima bonus sebulan gaji

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular