HomeEkonomiBangunkan potensi pelancongan dan pertanian desa melalui koperasi

Bangunkan potensi pelancongan dan pertanian desa melalui koperasi

Read Time:1 Minute, 55 Second

Kota Belud: Masyarakat khususnya di negeri ini digalakkan untuk membangunkan potensi pelancongan dan pertanian desa di kawasan masing-masing melalui koperasi.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, kementeriannya melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menyediakan pembiayaan khas untuk koperasi yang terlibat dalam aktiviti pelancongan.

“Setakat ini, sebanyak 48 buah koperasi terlibat dalam sektor pelancongan di Sabah dengan jumlah perolehan terkumpul RM8.3 juta.

“Saya percaya, ini dapat dipertingkatkan kerana Sabah dan negara kita mempunyai pelbagai produk pelancongan dan potensi yang luas yang boleh dibangunkan.

“Oleh itu, saya menggalakkan masyarakat di negeri ini supaya mempertimbangkan penubuhan koperasi sebagai satu platform membangunkan potensi pelancongan dan pertanian desa yang ada di daerah atau kampung mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Membudayakan Masyarakat Berkoperasi Peringkat Komuniti, sempena Sambutan Pesta Kaamatan Ulu Kadamaian, di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif SKM Rusli Jaafar, Pengarah SKM Negeri Sabah Matias Kundapin dan Pengerusi Penganjur Dolois Sumbin.

Pada program itu Ewon turut melancarkan Program Jejak Koperasi (JEJAK) Peringkat Negeri Sabah.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, Program JEJAK menyediakan insentif khas untuk koperasi yang terlibat dalam aktiviti pelancongan.

“Ini merupakan sumbangan kementerian khususnya SKM kepada persiapan Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Saya berhasrat gerakan koperasi turut berupaya menyediakan produk pelancongan setanding dengan pengusaha-pengusaha lain seperti resort, hotel dan restoran besar,” katanya.

Sehubungan itu beliau mahu masyarakat merebut peluang yang disediakan kerajaan dengan menubuhkan koperasi pelancongan

“Kita akan terus menwar-warkan inisiatif ini. Selain inisiatif untuk koperasi pelancongan, kita juga ingin melihat agar lebih banyak koperasi terlibat dalam sektor pertanian bagi menyumbang kepada keterjaminan makanan dalam negara,” katanya.

Pada majlis itu Ewon menyampaikan sijil penghargaan kepada tujuh koperasi iaitu Koperasi Pelancongan Sogindai Kiau Berhad, Koperasi  Sindeh Taliban Kota Belud Berhad, Koperasi Eko Pelancongan Kiau Berhad, Koperasi Konduan Kiau Nuluh Kota Belud Berhad, Koperasi Minitinduk Kiau Kota Belud Berhad, Koperasi Taburi Kota Belud Berhad dan Koperasi Paka Kota Belud Berhad.

Selain itu beliau turut bersetuju menyalurkan bantuan pembangunan sebanyak RM35,000 kepada setiap koperasi pelancongan di Kiau iaitu Koperasi Pelancongan Sogindai Kiau Berhad, Koperasi Minitinduk Kiau Berhad dan Koperasi Eko Pelancongan Kiau Berhad. 

Sebanyak RM200,000 untuk Tamu Desa di Kg.Kiau dan Persatuan Bekas Pelajar SK Kiau diberikan peruntukan sebanyak RM20,000 untuk membaikpulih dewan SK Kiau. – SABAH MEDIA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Maritim Malaysia tahan bot lakukan aktiviti pemindahan minyak tanpa kebenaran

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular