HomeIsu tempatanOps Tiris : KPDN Sabah rampas 4,400 liter diesel

Ops Tiris : KPDN Sabah rampas 4,400 liter diesel

Read Time:1 Minute, 38 Second

Kota Kinabalu: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah berjaya merampas sebanyak 4,400 liter minyak diesel yang disyaki cuba diseleweng dalam satu operasi di sebuah stor tanpa nama di Kampung Kibabaig, Penampang, semalam.

Operasi yang dijalankan Pasukan Gerakan Am (PGA) Kota Kinabalu itu adalah selepas mengesyaki berlaku penyelewengan barang kawalan iaitu minyak diesel sebelum kes diserahkan kepada KPDN Sabah untuk tindakan lanjut.

Pengarah KPDN Sabah, Georgie Abas berkata, sebaik menerima maklumat berhubung tangkapan daripada PGA itu, pihaknya menerusi sepasukan pegawai penguat kuasa KPDN bergegas ke tempat kejadian.

“Pemeriksaan awal yang dijalankan telah menjumpai dan menyita sebanyak 4,400 liter minyak diesel dengan anggaran nilai RM 9,460 yang disimpan dalam enam unit tangki Intermediate Bulk Container (IBC) yang diubahsuai dalam sebuah lori kotak jenama Nissan.

“Anggaran keseluruhan nilai rampasan ke atas tangkapan tersebut adalah berjumlah RM 58,860 termasuk dua buah lori kotak, 12 unit tangki IBC dan satu unit mesin pam yang disyaki untuk digunakan dalam aktiviti penyelewengan barang kawalan minyak diesel,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Georgie berkata,hasil operasi itu seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun yang dipercayai pekerja di lokasi serbuan turun ditahan dan diambil keterangan bagi tujuan membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen.

“Siasatan juga akan dilakukan dibawah Seksyen 20(1) akta sama kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran pengawal,” katanya.

Dalam pada itu, Georgie berkata, pihaknya akan terus bekerjasama erat dengan agensi-agensi Penguatkuasaan lain dalam menjalankan pemeriksaan dan mengambil tindakan yang tegas ke atas semua kegiatan haram berkaitan barang kawalan di negeri ini.

Katanya, ini agar tidak berlaku sebarang bentuk penyelewengan terhadap barang kawalan berkenaan. 

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti yang melanggar perundangan itu boleh menyalurkan aduan kepada pihak kementerian melalui saluran yang disediakan,” katanya. – SABAH MEDIA/ FOTO KPDN Sabah

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Petugas Tabung Darah digesa tingkat kemahiran, pengetahuan demi keselamatan pesakit

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular