HomeUtamaLima mesyuarat anjuran Motac tiada bincang program MM2H - Christina

Lima mesyuarat anjuran Motac tiada bincang program MM2H – Christina

Read Time:2 Minute, 51 Second

KOTA KINABALU: Menurut laporan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS), tiada satu pun daripada lima mesyuarat anjuran Motac membincangkan program MM2H, kata Menteri KePKAS, Datuk Christina Liew.

Beliau berkata demikian bagi menjelaskan dakwaan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) Datuk Seri Tiong King Sing bahawa beliau tidak menghadiri mesyuarat bagi membincangkan isu Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).

Menurut Christina, berdasarkan rekod KePKAS, beliau telah menghadiri sendiri mesyuarat yang dipengerusikan oleh Menteri Persekutuan itu (Tiong) pada 11 Mei 2023 di Putrajaya.

“Ada kalanya apabila saya tidak ada, saya menghantar wakil untuk menghadiri mesyuarat lain yang dipanggil oleh Motac. Pada 6 November 2023, Timbalan Setiausaha Tetap 1 saya dan seorang Pegawai Penyelidik Kanan Lembaga Pelancongan Sabah (STB) menghadiri mesyuarat kedua. Begitu juga, Timbalan Setiausaha Tetap 1 dan Ketua Penolong Setiausaha KePKAS telah menghadiri mesyuarat ketiga pada 14 November 2023.

“Dan pada 19 Disember 2023, Setiausaha Tetap KePKAS ketika itu menghadiri mesyuarat keempat. Timbalan Setiausaha Tetap 1, Ketua Penolong Setiausaha dan Pegawai Penyelidik Kanan STB telah menghadiri mesyuarat kelima pada 16 Januari tahun ini,” jelas Christina dalam satu kenyataan pada Isnin.

Daripada lima mesyuarat itu, Christina berkata, Menteri Motac hanya mempengerusikan tiga manakala dua lagi mesyuarat masing-masing dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Motac, dan Timbalan Menteri Motac.

“Menurut laporan Kementerian saya, tiada satu pun daripada lima mesyuarat itu pernah membincangkan program MM2H.

“Kami (KePKAS) tidak pernah dijemput untuk sebarang mesyuarat bagi membincangkan secara khusus program itu,” tegasnya.

Mengulas mengenai program Sabah-Malaysia My Second Home (Sabah-MM2H), Christina berkata ia telah diluluskan oleh Kabinet Negeri Sabah pada 2023 dan usaha diteruskan untuk memperhalusi semua kriteria sehingga Mei 2024.

“KePKAS telah diamanahkan dengan tanggungjawab menggubal dan melaksanakan program itu. Sejak itu, kami sedang mengusahakan terma dan syarat penyertaan dalam program itu.

“Untuk setiap pertemuan kita di Sabah berkenaan Sabah-MM2H, Kementerian saya telah menjemput Pejabat Motac Sabah, Jabatan Imigresen Negeri, Polis dan Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri (di bawah Jabatan Ketua Menteri) untuk hadir.

“Kami telah bersedia untuk melancarkan program itu pada 1 Jun 2024. Bagaimanapun, kami berasa kecewa dan terkejut, Motac telah menggantung operasi semua ejen berlesen dalam memproses permohonan baharu, berkuat kuasa serta-merta.

“Motac mengeluarkan arahan bertarikh 27 Mei 2024 kepada semua ejen berlesen yang mengendalikan permohonan MM2H, termasuk di Sabah dan Sarawak, untuk menghentikan operasi,” jelasnya lagi.

Menurut Christina, keputusan sewenang-wenangnya Motac mengejutkan ramai pihak berkepentingan, khususnya ejen, pembeli, dan bakal pelabur, serta Kabinet Negeri Sabah.

“Tambahan pula, Motac tidak pernah membincangkan keputusan mereka dengan Kerajaan Negeri Sabah,” katanya.

Sehubungan dengan perkara ini, KePKAS menulis surat kepada Motac pada 28 Mei 2024 untuk merayu atas keputusan Motac yang menggantung operasi ejen berlesen, terutamanya ejen Sabah, yang sebahagiannya masih memegang lesen sah yang diluluskan dan dikeluarkan oleh Motac.

“Kami juga telah menyatakan dalam surat kami kepada Motac bahawa jika gagal, Kementerian saya akan melantik dan memberi kuasa kepada wakil negeri untuk memproses permohonan pemohon berpotensi untuk program Sabah-MM2H,” tegasnya.

Christina berkata, pada 31 Mei lalu, Motac memaklumkan KePKAS bahawa tiada sesiapa dibenarkan memproses permohonan baharu bagi program Sabah-MM2H sehingga diberitahu kelak oleh Motac.

Namun demikian, katanya, Sabah akan meneruskan program Sabah-MM2Hnya sendiri, Sabah dan Sarawak mempunyai dasar yang berbeza dan tidak sepatutnya digabungkan ke dalam program itu untuk Semenanjung Malaysia.

“Kami bersetuju dengan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah bahawa Sabah dan Sarawak mempunyai syarat tersendiri untuk program kami. Oleh itu, kami (Sabah) akan meneruskan dengan sewajarnya,” ujarnya.

RELATED ARTICLES
Utama

KPKM komited teroka peluang baharu tingkat penyertaan belia dalam bidang pertanian

Bangunan Kerajaan Sabah Pentadbiran Sabah Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular